Jumaat, 1 Mac 2019

Azmin tak setuju kajian Ilham Centre, yakin PH menang


    PRK SEMENYIH | Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata beliau tidak bersetuju dengan kaji selidik dijalankan Ilham Centre yang mendakwa BN mungkin menang pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

"Saya tidak bersetuju, saya yakin dan optimis dengan prestasi Harapan di Selangor dan kami akan terus mengekalkan Semenyih.

"Tinjauan yang dijalankan oleh kumpulan berlainan (tetapi) pada akhirnya rakyat akan memutuskan berdasarkan prestasi kerajaan dan parti politik," katanya kepada media ketika kempen di Sungai Jai di Semenyih hari ini.

Terdahulu Ilham Centre hari ini meramalkan BN akan merampas semula kerusi DUN Semenyih pada pilihan raya kecil yang berlangsung esok. BN menguasai kerusi itu sejak tahun 1959 sehingga pilihan raya umum yang lalu.

Ilham merumuskan PH memerlukan "formula ajaib" bagi memenangi PRK berkenaan terutama dalam menarik sokongan pengundi Melayu.

Azmin sebaliknya berkata PH tidak memerlukan formula berkenaan kerana telah bekerja keras dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini di Selangor.
Sementara itu, Azmin menafikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengkhianati orang Melayu di Selangor.


Sebaliknya kata Azmin, Melayu di Selangor adalah yang paling maju dan berjaya dibandingkan dengan penduduk di negeri-negeri lain.

'Ada pihak takutkan Melayu di Semenyih'

"Ada pihak yang datang ke Semenyih bawa pelbagai propaganda fitnah, supaya orang Melayu terutamanya umat Islam jangan dekat dengan PH.

"Mereka menakutkan orang Melayu, seolah-olah PH ini khianat pada orang Melayu dan umat Islam. Seolah-oleh PH ini dikuasai oleh DAP.

"Inilah yang dicanangkan oleh mereka yang turun di Semenyih untuk meraih undi daripada orang Melayu.

"Makcik pakcik saya nak beritahu, Selangor ini alhamdulillah, ini sebuah negeri pelbagai kaum pelbagai agama.

"Kita telah berada di Selangor ini puluhan tahun, ini bukan sebuah negeri yang 100 peratus Melayu dan umat Islam. Ada orang Cina, India, (dan) majoriti Melayu," katanya.

Tambahnya sekiranya Selangor tidak stabil, sudah pasti ramai pelabur tidak datang ke negeri itu dan golongan muda tidak mempunyai pekerjaan berpendapatan tinggi.

Tiada ulasan: