Selasa, 19 Mac 2019

Ahli Parlimen BN-PAS keluar Dewan Rakyat

Ahli Parlimen BN dan PAS mengadakan sidang media di lobi 
Parlimen selepas meninggalkan Dewan Rakyat beramai-ramai 
hari ini.
 
KUALA LUMPUR: Semua ahli Parlimen Barisan Nasional dan PAS meninggalkan Dewan Rakyat beramai-ramai hari ini sebagai tanda solidariti terhadap Ahli Parlimen Tanjong Karang, Noh Omar yang berdepan penggantungan selama 3 hari.

Mereka mendakwa Timbalan Speaker, Nga Kor Ming menyalahgunakan kuasa dengan menghalau Noh dari Dewan Rakyat kerana mempersoalkan kenyataan pengerusi DAP Perak itu yang dilaporkan berkata, Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang ditadbir Taliban jika Umno-PAS berjaya membentuk kerajaan.

Noh turut menyifatkan Nga tidak sesuai memegang jawatan timbalan speaker.

Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob berkata, Nga tidak sepatutnya menggunakan imuniti Parlimennya untuk mengambil tindakan terhadap Noh kerana beliau sendiri tidak pernah menafikan tidak membuat kenyataan itu pada 3 Mac lalu.
“Masa Nga cakap itu atas kapasiti pemimpin DAP dan bukan sebagai timbalan speaker.

“…saya percaya Nga tak cakap itu tidak benar dan dia boleh ambil tindakan kepada media yang siar berita tidak betul,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, ahli Parlimen BN dan PAS tidak akan menghadiri sidang Dewan Rakyat hari ini yang dipengerusikan Nga.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, arahan penggantungan itu dikeluarkan Nga ketika Noh tiada dalam Dewan Rakyat.

“Harap perkara ini akan diperhalusi, setiap petua (arahan) nak beri kepada ahli Parlimen, dia mesti ada.”

Tiada ulasan: