Ahad, 31 Mac 2019

50 NGO mahu kerajaan dedahkan laporan CEP

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Daim Zainuddin berkata, 
terserah kepada kerajaan sama ada mahu mendedahkan laporan 
majlis itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersatu suara menggesa kerajaan mendedahkan laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) kepada umum dan tidak meletakkannya di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

Kumpulan masyarakat sivil itu mendesak Putrajaya supaya tidak melanggar janji yang dibuatnya, dengan berkata, tindakan meletakkan laporan CEP di bawah OSA bermakna kerajaan mahu menyembunyikan sesuatu, sekali gus mengelak tanggungjawab.

“Hakikat bahawa seorang timbalan menteri Pakatan Harapan (PH) mewajarkan langkah merahsiakan laporan yang disediakan dengan tujuan membantu proses pembaharuan, membimbangkan masyarakat sivil tentang komitmen kerajaan ini pada pembaharuan,” kata mereka dalam satu kenyataan.

NGO berkenaan, yang mengingatkan PH bahawa “pembaharuan” merupakan “batu asas” yang membawa kepada pilihan raya umum lepas berkata, OSA adalah undang-undang represif yang perlu dikaji semula.

“OSA adalah undang-undang cacat yang telah disalahgunakan bagi menyembunyikan perbuatan jenayah dan salah laku kerajaan.

“Ia telah digunakan untuk mengklasifikasikan pelbagai jenis dokumen sebagai rahsia, termasuk perjanjian konsesi lebuh raya dan air, minit mesyuarat dewan bandaraya dan indeks pencemaran udara,” kata kenyataan itu lagi.

Katanya, maklumat kewangan yang sensitif dan sulit boleh dipadamkan jika perlu.

Kumpulan itu juga mahu laporan Jawatankuasa Reformasi Institusi dan enakmen Akta Kebebasan Maklumat didedahkan kepada umum.

“Maklumat yang penting dan berguna hendaklah boleh dicapai dan diakses oleh semua orang,” kata mereka.

Semalam, akhbar The Star melaporkan pengerusi CEP, Daim Zainuddin berkata, beliau mahu laporan itu didedahkan kepada umum bagi membolehkan ia dibahas.

Bagaimanapun kata bekas menteri kewangan itu, terserah kepada Putrajaya untuk mengambil langkah itu.

Tiada ulasan: