Khamis, 28 Februari 2019

Wanita dakwa dipaksa undi calon PH buat laporan polis

Muhammad Azizul Osman
xMGF280219_PC-POLIS-PRK04-681x454
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Mohd Sabri Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Balai Polis Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK 
 

SEMENYIH – Seorang wanita yang juga pengundi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih membuat laporan di Balai Polis Semenyih semalam selepas mendakwa menerima ancaman daripada pihak-pihak tertentu.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Sabri Abdullah.

“Pengadu merasakan diri dan ahli keluarga terancam kerana didakwa ada unsur paksaan mengundi. Kita buka kertas siasatan di bawah Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya iaitu pengaruh tidak wajar,” kata Mohd Sabri dalam sidang media harian di Balai Polis Semenyih, hari ini.

Menurut beliau, pengadu yang berusia 40 tahun itu membuat laporan itu pada jam 2.27 petang kerana dipaksa untuk mengundi Pakatan Harapan (PH).

Wanita itu didakwa dalam proses membuat pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Sebenar pengadu wanita ini ingin membuat pinjaman melalui agensi kerajaan dan masih dalam proses mendapatkan pinjaman tersebut.

“Dalam laporan polis, pengadu berkata, kakitangan agensi kerajaan ini telah menetapkan syarat tertentu dan tidak boleh dinyatakan kerana masih dalam siasatan,” jelas Mohd Sabri lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga hari ini 11 kertas soalan sudah dibuka oleh polis.

Ini termasuk satu laporan polis daripada calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi berhubung kain-kain rentang berunsur provokasi yang digantung di sekitar Semenyih.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 35 laporan polis telah diterima pihaknya dalam pelbagai laporan.

Mohd. Sabri berkata, sejak kempen bermula 16 Februari lalu sehingga kini sebanyak 314 permit ceramah telah dikeluarkan polis untuk parti politik dan calon bertanding.

Paling banyak diterima adalah daripada PH dengan 161 permit, BN dengan 135 permit, PSM 10 dan calon Bebas 8. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: