Jumaat, 15 Februari 2019

SPRM mahu maklumat dari Hamid Sultan


   
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendapatkan lebih banyak maklumat daripada Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer, berhubung afidavitnya yang didedahkan semalam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata agensi antirasuah itu akan menghubungi Hamid untuk mengatur pertemuan dalam waktu terdekat.

Katanya SPRM akan mendapatkan lebih banyak maklumat daripada hakim terbabit sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

"SPRM boleh menjalankan siasatan sekiranya wujud unsur-unsur rasuah dan salah guna kuasa mengikut undang-undang yang ada pada kami," katanya kepada Malaysiakini.

Kenyataan Azam itu merujuk kepada peruntukan yang terkandung dalam Akta SPRM 2009.

Semalam Malaysiakini melaporkan dakwaan Hamid mengenai tindakan hakim tertentu yang dikaitkan dengan pihak swasta untuk bekerjasama menipu duit rakyat.

Pendedahan itu dibuat melalui afidavit sokongan terhadap permohonan peguam Sangeet Kaur Deo untuk mengisytiharkan ketua hakim negara gagal mempertahankan integriti dan kredibiliti badan kehakiman.

Hamid mendakwa cara penipuan itu dilakukan melalui penama politik yang memeterai kontrak dengan kerajaan.

Dalam afidavit itu juga Hamid mendakwa ada hakim kanan bimbang jika PH dapat mengalahkan BN dalam PRU ke-14 yang diadakan pada 9 Mei tahun lalu.

Katanya kebimbangan itu dinyatakan seawal April tahun itu dalam majlis makan tengah hari bulanan di sebuah restoran makanan Itali.

Katanya salah seorang hakim tertinggi bimbang kemenangan PH itu akan menyebabkan dia diheret bersama sekutunya ke dalam tribunal.

"la adalah satu perkara yang masuk akal kepada saya bahawa hanya mereka yang melakukan jenayah perlembagaan yang mengerikan akan takut ditangkap," katanya dalam afidavit itu.

Tiada ulasan: