Khamis, 14 Februari 2019

Pengarah Love in Georgetown City buat laporan polis

 
   

Pengarah Love in Georgetown City Fa Abdul membuat laporan polis semalam susulan apa yang menurutnya sebagai fitnah terhadap teater tersebut.

Beliau berkata, laporan dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laur di George Town, Pulau Pinang.

"Banyak pihak menuduh saya bakal menayangkan filem lucah yang boleh mendorong masyarakat ke arah maksiat," katanya menerusi pesanan ringkas kepada Malaysiakini.

Beliau berkata, laporan dibuat untuk mengelakkan fitnah itu berterusan dan demi keselamatan diri, kru produksi dan lokasi pementasan.

"Ia juga bagi memastikan tiada kekacauan berlaku berikutan ugutan protes yang dianjurkan pihak tertentu," katanya lagi.

Teater itu pada mulanya bertajuk Sex in Georgetown City sebelum perkataan sex digantikan dengan simbol hati.

Semalam, Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) menggesa pementasannya - yang dijadual pada 15 Februari ini - dibatalkan kerana mendakwa ia "membawa kepada maksiat dan mungkar" dan boleh memberi kesan negatif.


Hari ini laman rasmi PAS, Harakahdaily memetik Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Riduan Mohamad Nor yang menyuarakan kebimbangannya dengan "sikap apologetik" orang Islam sehingga menyebabkan teater itu dibenarkan akan menghancurkan akidah dan akhlak golongan muda.

Mengulas lanjut, Fa berkata inti pati naskhah itu bertujuan mendidik masyarakat mengenai gejala sosial yang berleluasa, menerusi hiburan.

Katanya, teater itu membahaskan isu sosial yang memberi kesan kepada masyarakat, dan antaranya menyentuh soal perkauman, pedofilia, kahwin bawah umur dan curang dalam perhubungan.

Malangnya hasrat itu menerima tentangan sesetengah pihak tanpa usul periksa.

"Sambil menyelam minum air, inilah salah satu cara mendekati golongan muda iaitu denggan hiburan.

"Kita tak boleh bersikap alpa dan menolak kebenaran bahawa masalah seks rambang, misalnya, di kalangan masyarakat - sama ada sudah berkahwin atau belum - semakin menjadi-jadi," katanya lagi.

Love in Georgetown City dijadual dipentaskan pada 14 Februari (esok) hingga 17 Februari di Performing Arts Centre, Pulau Pinang.


Tiada ulasan: