Selasa, 12 Februari 2019

PAS desak siasat semula dakwaan DAP terima dana asing

Oleh Athirah Huda Zalhe

Parti rasis kini ghairah usik perkara berkaitan Islam, Melayu



BANGI – PAS mendesak pihak berkuasa membuka semula siasatan terhadap laporan polis, pendedahan dan pengakuan pihak tertentu yang mengaitkan parti tamak haloba, DAP dengan bantuan atau penerimaan dana asing.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan itu penting kerana sehingga kini semua keterangan mengaitkan parti rasis dan cauvinis berkenaan tidak menghadapi sebarang tindak balas perundangan, mahu pun penafian daripada pihak DAP.

Beliau berkata, ini termasuklah pendedahan bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Razali Abdul Rahman yang pernah menyatakan bahawa DAP menerima wang rasuah sebanyak RM300 juta daripada pihak Israel.

“Begitu juga laporan polis oleh bekas Pegawai TUDM, Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff yang mendakwa Red Bean Army DAP menerima dana disalurkan oleh Open Society Foundations (OSF) milik George Soros.

“Malah, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mendakwa DAP menerima dana segera daripada negara-negara luar untuk membiayai pilihan raya.

“Manakala, Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining secara terbuka mengaku bahawa pihaknya telah memberi dana kepada Pakatan Harapan untuk menghadapi PRU14 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk berkata, semua penyataan berkenaan adalah serius, yang berlaku secara sulit dan menyalahi integriti serta undang-undang, di mana ia boleh mendalangi tindakan atau langkah urus tadbir berkaitan.

Bahkan katanya, tindakan DAP itu dipercayai bertujuan politik yang boleh menggugat kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara.

“Oleh itu, risiko yang ada ini mesti segera ditangani pihak berkuasa. Kami khuatir, perbuatan khianat dan umpama ‘menjual’ negara ini sekiranya tidak dikekang dan ditangani segera boleh mengundang pelbagai ancaman merbahaya terhadap rakyat dan institusi penting negara ini.

“Kerana bibit-bibit berkaitan telah pun ternyata dapat dilihat dilakukan oleh ahli-ahli politik daripada DAP yang mutakhir ini ghairah mengusik perkara berkaitan Islam, Melayu dan Bumiputera serta institusi berkaitannya,” katanya.


Tiada ulasan: