Sabtu, 16 Februari 2019

Menteri sembunyi fakta batal subsidi haji jemaaah rayuan

Oleh Siti Fatimah Ishak

Isma minta Mujahid, Tabung Haji perjelas bayaran RM22,900



BANGI – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) kesal kerana fakta mengenai pembatalan subsidi kepada jemaah yang berjaya dalam rayuan dan mana-mana individu yang menjadi pengiring mahram, bagi mengerjakan haji tahun ini, disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Malah, sehingga petang ini, belum ada kenyataan rasmi daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa, mengenai perkara itu, sedangkan pada Khamis lalu beliau mengadakan sidang media mengumumkan pengekalan bayaran jemaah haji muassasah kali pertama bagi tahun semasa 1440H/2019M.

Sebaliknya, pembatalan subsidi kepada jemaah haji yang berjaya dalam rayuan dan pengiring hanya dimaklumkan secara ‘sembunyi-sembunyi’ ketika Tabung Haji (TH) menjawab persoalan yang dibangkitkan netizen dalam laman Facebook ‘Official-Lembaga Tabung Haji’, semalam.

Difahamkan, bermula tahun ini, semua jemaah haji yang berjaya dalam rayuan mereka, dan mana-mana mahram yang menjadi pengiring perlu membayar penuh RM22,900, walaupun ini adalah kali pertama mereka mengerjakan haji.

Berbanding sebelum ini, semua jemaah haji dan pengiring yang pertama kali mengerjakan haji diberi subsidi dan hanya membayar RM9,980.

Sehubungan itu, Isma sebagai pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, menuntut kerajaan termasuk Mujahid memberi penjelasan segera, kerana tindakan itu hanya akan membebankan rakyat.

Menyifatkannya sebagai tak masuk akal, Amir Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman turut mempersoal rasional kerajaan memutuskan pembatalan subsidi haji, yang dilihat akan terus menekan rakyat dengan pertambahan wang yang banyak untuk ke Tanah Suci.

“Orang buat rayuan biasanya disebabkan giliran yang diberi tidak logik kerana lambat, kadang-kadang sehingga mati hidup balik pun belum tentu sempat.

“Begitu juga pengiring… itu bukan pilihan yang boleh dielak. Jadi kerajaan jangan ambil kesempatan atas keterpaksaan orang lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau mengulangi gesaan supaya kerajaan atau TH memberi penjelasan berhubung perkara itu, dan tidak menyembunyikan fakta sebenar.


Tiada ulasan: