Khamis, 14 Februari 2019

Menteri agama ancam saman presiden PAS

MALAYSIAKINI

   
Menteri agama Dr Mujahid Yusof Rawa mungkin mengheret Harakahdaily ke mahkamah susulan artikel Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Sekali lagi diingatkan bahawa mana-mana pihak yang menyebarkan atau membuat tuduhan (fitnah) akan berhadapan dengan tindakan undang-undang,” kata pentadbir media sosial Mujahid.

“Harap media rasmi PAS menarik balik artikel berunsur tuduhan (fitnah) terhadap menteri, membuat permohonan Maaf secara terbuka atau bersedia untuk menghadapi tindakan undang-undang.”
 Harakahdaily hari ini menyiarkan tulisan Hadi yang mengulas “kenyataan seorang menteri yang dikatakan berijazah tinggi yang dibanggakannya dan menegaskan bahawa Nabi Muhammad SAW juga tiada ijazah”.

Hadi tidak menyebut nama Mujahid, yang juga naib presiden Amanah, secara jelas.

Sebelum ini terdapat sebaran di media sosial yang memetik Mujahid sebagai berkata “Rasulullah tidak masuk universiti”.

Beliau juga dipetik sebagai berkata "Nabi, Rasul dan para sahabat pun tiada diploma mahu pun Ijazah".

Pentadbir Facebook Mujahid menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai fitnah.

Isu kelayakan akademik ahli politik kerajaan muncul bermula dengan Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya yang ijazahnya dipertikaikan.

Beberapa menteri Amanah turut menerima tempiasnya, termasuk Presiden Mohamad Sabu dan Naib Presiden Mahfuz Omar yang didakwa menipu kelayakan akademik masing-masing.

Mohamad dan Mahfuz bagaimanapun menjelaskan mereka memang tidak mempunyai sijil akademik berkaitan.


Tiada ulasan: