Sabtu, 16 Februari 2019

Macam mana Dr M boleh cakap bagi pihak PAS, tanya Ismail Sabri

MALAYSIAKINI

   

Kenyataan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad bahawa PAS tidak akan menyokong Umno lagi dipertikaikan pimpinan parti pembangkang itu.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menyoal bagaimana Dr Mahathir boleh bercakap bagi pihak PAS kerana katanya kenyataan itu sangat terdesak.

"Bagaimana Dr Mahathir boleh bercakap bagi pihak PAS... ia kenyataan yang sangat terdesak.

"PAS all out bersama BN dalam perarakan (penamaan) calon (PRK Semenyih) tadi. Kehadiran PAS yang sebenar tidak seperti kenyataan Dr Mahathir," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Menjelaskan lanjut, Ismail yang juga MP Bera berkata ramai pemimpin PAS yang hadir menyokong calon BN di pusat penamaan calon PRk Semenyih di Kajang pagi tadi, termasuklah Setiausaha AGung PAS Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehin Mukhyi, Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh.

"Hari ini calon BN diiringi penyokong Bn dan PAS.

"Ramai pemimpin tertinggi PAS yang hadir.. dua orang naib presiden PAS iaitu Iskandar Samad dan Idris Ahmad.. Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehin Mukhyi, Ketua Muslimat PAS (Nuridah Mohd Salleh), pemimpin pemuda dan lain-lain termasuk pemimpin-pemimpin PAS dari bahagian Selangor dan negeri-negeri lain.

"Malah Unit Amal PAS yang membantu mengawal keselamatan penyokong BN dan PAS selain dari polis," katanya lagi.

Pengakuan bertulis, ditandatangani

Beberapa jam selepas pemimpin kanan PAS hadir memberi sokongan kepada Umno dan BN di Semenyih, maklumat baru didedahkan Dr Mahathir agak mengejutkan.

Menurut perdana menteri, dalam pertemuan beliau dengan Presiden PAS semalam Abdul Hadi Awang memberi perakuan untuk tidak menyokong Umno.

Ditemui di Petaling Jaya hari ini Mahathir mendakwa pada asasnya beliau dan Abdul Hadi berbincang mengenai politik semalam.

Ditanya mengenai butiran lanjut, Mahathir berkata PAS tidak akan menyokong Umno lagi.

"Tak akan menyokong Umno, ada juga pengakuan secara tertulis dan ditandatangani," katanya.

Malaysiakini sedang menghubungi PAS, termasuk Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang turut menghadiri pertemuan semalam, bagi mendapatkan pengesahan.

Semalam Abdul Hadi hadir di pejabat Mahathir di Yayasan al-Bukhari di Kuala Lumpur untuk mengadakan kali kedua dengan pengerusi PH itu.


Tiada ulasan: