Selasa, 12 Februari 2019

Lepas menari AG gugur kes Siti Kassim: Sekadar satu persepsi

ISMA WEB

Tuduhan aibkan seseorang dengan menunjukkan isyarat digugurkan


JABATAN Peguam Negara mungkin tidak perlu memberitahu masyarakat umum atau polis kenapa mereka menggugurkan atau membatal pendakwaan terhadap mana-mana pihak.

Atau, mereka juga boleh menerangkan kepada masyarakat umum kenapa sesuatu kes itu digugurkan – bagi mengelakkan persepsi buruk terhadap jabatan itu. Apa lagi jika tuduhan dan siasatan polis membabitkan kes kontroversi dan individu dikenali ramai. Semuanya, terletak di tangan peguam negara atau singkatan popularnya AG.

Demikian juga terhadap kes Siti Kassim – peguam kontroversi – yang mengangkat ‘isyarat lucah’ jari tengah kepada seorang penonton pada forum Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) di Shah Alam, dua tahun lalu.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata Jabatan Peguam Negara membatalkan arahan mendakwa Siti Kassim mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Apa kata Seksyen 509? (Perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang).

Barang siapa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan seseorang, menyebut apa-apa perkataan, membuat apa-apa bunyi atau isyarat, atau menunjukkan apa-apa benda, dengan maksud supaya perkataan atau bunyi itu didengar, atau supaya isyarat atau benda itu dilihat oleh seseorang itu, atau mengganggu kesantunan seseorang itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya.

Word or gesture intended to insult the modesty of a person 509. Whoever, intending to insult the modesty of any person, utters any word, makes any sound or gesture, or exhibits any object, intending that such word or sound shall be heard, or that such gesture or object shall be seen by such person, or intrudes upon the privacy of such person, shall be punished with imprisonment for a term which may extend to five years or with fine or with both.

“Selepas meneliti semula segala fakta dan keterangan, Jabatan Peguam Negara memutuskan arahan pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang dikeluarkan pada 18 April tahun lalu dibatalkan,” kata Fadzil.

Pada 5 September 2016, peguam itu didakwa menunjukkan isyarat jari tengah kepada seorang penonton ketika forum mengenai isu RUU355 di Kompleks Karangkraf, di Shah Alam.

Insiden dipercayai berlaku selepas Siti Kassim hadir ke forum itu dan mengkritik RUU berkenaan sehingga mengakibatkan penonton di forum berkenaan menyindirnya.

Pada April tahun lalu, iaitu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), polis menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara yang ketika itu diketuai Tan Sri Mohamed Apandi Ali, untuk mendakwa Siti Kassim, tetapi ditangguhkan bagi membolehkan polis menumpu perhatian kepada persediaan menghadapi pilihan raya.

Tetapi semalam, di bawah Tommy Thomas, Jabatan Peguam Negara membatalkan pertuduhan itu.

Pedang bukan hendak bercakap mengenai ‘invasion of privacy’ atau ‘morally wrong’ atau ‘legally wrong’ atau ‘legally right’. Ini kerana sama ada ‘morally right’ atau ‘morally wrong’ terletak kepada persepsi masyarakat.

Seperti juga menunjuk jari tengah dengan jari lain digenggamkan. Umumnya ia bermaksud ‘fuck you’, tetapi tidak juga, sebaliknya mengangkat jari tengah juga adalah isyarat ‘menyerang’ bagi menunjukkan penghinaan atau penentangan. 

Maksud dan asal usul angkat jari tengah ni boleh di baca di sini dictionary.com.

Seperti Pedang kata ‘morally right’ atau ‘morally wrong’ terletak kepada persepsi masyarakat, demikian juga persepsi orang ramai apabila AG membatalkan arahan pendakwaan terhadap Siti Kassim.

Persepsi buruk diterima bukan sahaja oleh Jabatan Peguam Negara, tetapi juga kerajaan Malaysia Baharu Pakatan Harapan (PH). Kredibiliti yang terus dipertikai selepas terpalit dalam pelanggaran etika sebagai peguam negara dan ketua hakim negara, yang melarang mereka berada dalam majlis yang turut dihadiri peguam.

Pastinya, ramai yang masih tidak dapat melupakan isu peguam negara dan Siti Kassim sama-sama bertwist di satu pentas di Sabah bersama ketua hakim negara, sehingga ramai yang mempertikaikan mengenai etika kehakiman.

Iyalah! Selepas seronok bertwist untuk merayakan ‘Keadilan Menuju Kehadapan’ – maka inilah yang dibimbangi. Sama-sama berada di atas pentas melenggok mengikut rentak ‘Let’s Twist Again’, alih-alih pendakwaan terhadap Siti Kassim dibatalkan.

Untunglah Siti Kassim dapat menari dengan peguam negara hingga kesnya digugurkan. Itulah antara persepsi masyarakat. Bersambung persepsi itu ialah ‘demikianlah kerajaan PH pun membiarkan sahaja’.

Pedang rasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak patut mengambil Siti Kassim yang ‘mesra’ bergambar dengan peguam negara, mengetuai pasukan peguambelanya – malu apa bossku. Pasti akan menang kes, atau kes digugurkan.

Daripada pentas twist itulah masyarakat membuat persepsi buruk apabila kes Siti Kassim mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan digugurkan.

Kata Pedang: Lepas ini tak salah lah mana-mana rakyat Malaysia mengangkat isyarat jari tengah kepada sesiapa pun – hatta kepada pemimpin kerajaan – sebab itu tidak melanggar undang-undang, tak akan didakwa. Atau nak Pedang mulakan dulu angkat jari tengah kepada Jabatan Peguam Negara?

p/s: Boleh juga kalau sekarang ini kita ubah maksud isyarat jari tengah itu ialah ‘ucapan terima kasih’. – Inipun persepsi juga.


Tiada ulasan: