Sabtu, 16 Februari 2019

Langsung: Proses penamaan calon catat sejarah


   
PRK SEMENYIH | Pilihan raya kecil keenam selepas berlangsungnya PRU bersejarah pada 9 Mei 2018, kini bermula secara rasmi.

Bertempat di Selangor sekali lagi PH dan pembangkang bersaing untuk menduduki kerusi kawasan DUN Semenyih yang kosong sejak 11 Jan lalu.

Sama seperti PRK lain - dengan pengecualian di Port Dickson - PRK Semenyih ini diadakan dalam keadaan tidak dirancang. Ia berlangsung selepas penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia.

Umumnya saingan utama di Semenyih ialah di antara PH dan BN yang mendapat sokongan PAS, manakala penyertaan Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta calon bebas dijangka tidak memberi banyak kesan ketara.

Malaysiakini membawakan liputan langsung proses penamaan calon untuk PRK Semenyih hari ini di sini.

LAPORAN LANGSUNG

 11am, Dewan Seri Cempaka: Perjalanan proses penamaan calon hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila ia disempurnakan dengan lancar dan pantas.

Pengerusi SPR Azhar Azizah Harun berkata selepas waktu pencalonan ditutup pada 10 pagi, proses selanjutnya disiapkan kira-kira 25 minit kemudian.

Beliau juga menyatakan SPR menyediakan surat aku janji untuk diperakui semua calon PRK Semenyih. Katanya terkandung dalam surat tersebut ialah 10 ikrar yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh PRK kali ini agar tidak menyalahi peraturan yag ada.
Azhar juga menyasarkan kehadiran 70 peratus pengundi di DUN Semenyih pada hari pengundian 2 Mac ini dan keputusan dijangka diumumkan sebelum jam 10 malam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas proses penamaan calon selesai sebentar tadi.

10.25am, Dewan Seri Cempaka: Secara rasmi kerusi DUN Semenyih akan ditandingi empat calon.

Pertembungan empat penjuru itu membabitkan Zakaria Hanafi dari BN, Muhammad Aiman Zinali (PH), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan Kuan Chee Heng (bebas).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Sayuthi Bakar berkata semua borang pencalonan diterima.
10am, Dewan Seri Cempaka: Polis mengesahkan seorang lelaki meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri semasa mengiringi calon hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata setakat ini belum banyak maklumat diperolehi, selain lelaki terbabit berusia 50-an.

"Dipercayai dia mengalami kesukaran bernafas namun polis belum mendapat pengesahan," katanya.

Menurut Ahmad Dzaffir polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.30 pagi tadi dan mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Kajang.

Sementara itu beliau berkata seramai 733 anggota dan pegawai polis ditugaskan untuk memastikan proses penamaan calon hari ini berlangsung dengan lancar.

10am, Dewan Seri Cempaka: Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohd Sayuthi Bakar mengumumkan tempoh pendaftaran calon ditutup.

Pengumuman rasmi mengenai calon yang bertanding akan dibuat tidak lama lagi.

9am, Dewan Seri Cempaka: Calon PH Muhammad Aiman Zainali menyatakan dia yakin 100 peratus dapat mempertahankan kerusi Semenyih yang sebelum ini diwakili bapa mertuanya, Bakhtiar Mohd Nor.

Malah dia juga membayangkan PH akan mendapat majoriti lebih besar berbanding apa yang diperolehi mereka pada PRU lalu.
Sementara itu Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Sayuthi Bakar, mengumumkan tempoh pendaftaran calon bermula secara rasmi.

9am, Dewan Seri Cempaka: Turut mewarnakan PRK Semenyih ini ialah aktivis sosial, Kuan Chee Heng, atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Dia tiba di pusat penamaan selepas calon lain sampai di situ.

Tidak seperti calon lain Kuan hanya diiringi 10 penyokong dan mereka menyapa petugas media yang membuat liputan di situ.

Tidak dapat dipastikan berapa ramai lagi calon bebas akan muncul kerana menurut SPR, sebanyak 13 borang pencalonan dijual sebelum ini.

8.45am, Dewan Seri Cempaka: Berarak bersama penyokong yang ramai membuatkan Muhammad Aiman Zainali, pemimpin PH dan orang ramai berpeluh.

Mereka sampai di kawasan khemah yang disediakan untuk menunggu pendaftaran dibuka pada jam 9 pagi.

Anak bekas Adun Semenyih, Nurul Filzah Bakhtiar, mengelap peluh yang membasahi wajah suaminya, Muhammad Aiman.

8.40am, Persiaran Impian Perdana: Selesai bersarapan kumpulan PSM memulakan perarakan sambil membawa bendera parti.

Jika BN berselawat atau menyanyi dan PH bertakbir, PSM pula melaungkan slogan "Hidup Sosialisme" dan menyanykan lagu "Buruh Tani".
Semangat penyokong PSM tetap tidak terjejas walapun disorak dengan laungan takbir oleh kumpulan BN semasa mereka melintas di depan.

8.38am, belakang Dewan Seri Cempaka: Setelah mengaminkan bacaan doa, rombongan BN dan PAS berarak ke Dewan Seri Cempaka didahului sekumpulan penyokong yang membawakan kain rentang panjang dengan tulisan 'Barisan Nasional, Hidup Rakyat’ sambil menyanyikan lagu Inilah Barisan Kita.

Zakaria diiringi pemimpin BN dan wakil PAS sambil mengalunkan selawat.

Bilangan penyokong BN yang mengiringi perarakan dianggarkan seramai 1,000 orang.

8.25am, Persiaran Impian Perdana: Penyokong PH berdoa sebelum mula berarak ke pusat penamaan calon yang ditetapkan SPR iaitu Dewan Seri Cempaka.

Penyokong beragama Islam juga mengiringi perarakan sejauh kira-kira 200 meter itu dengan laungan takbir.

Kira-kira 500 orang hadir setakat ini untuk memberikan sokongan moral kepada calon PH.
Mereka diketuai Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PH, Muhyiddin Yassin.

Antara tokoh dikenali ramai menyertai perarakan itu ialah Anggota Parlimen Jeli dan bekas menteri kanan BN, Mustapa Mohamed.

8.07am, belakang Dewan Si Cempaka: Kira-kira 20 wakil dari PAS tiba di khemah BN dan disambut dengan mesra dengan pelukan oleh penyokong BN.

Ketika ini dianggarkan ada kira-kira 500 penyokong membanjiri tempat berkumpul berkenaan.
Pemimpin lain yang turut hadir memberikan sokongan termasuklah Nazri Aziz, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Tajuddin Abdul Rahman, Mohamed Khaled Nordin, Zambry Abdul Kadir dan Ahmad Maslan.

Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan tiba kira-kira jam 8.20.

8.00am, Persiaran Impian Perdana: Kira-kira 50 penyokong PSM berkumpul di depan lot-lot kedai berhampiran pusat penamaan calon.

PSM itu mempertaruhkan Nik Aziz Afiq Abdul sebagai calon mereka untuk cuba mendapatkan undi sekali gus membawa parti itu menjadi sebahagian daripada Adun di Dewan Undangan Negeri Selangor.
Nik Aziz tiba di kawasan berkenaan ditemani keluarganya.

Turut memberi sokongan moral ialah Pengerusi PSM, Dr Nasir Hashim; setiausaha agung mereka, A Sivarajan dan penasihat Suaram, Dr Kua Kia Soong.

7.30am, Persiaran Impian Perdana: Suasana santai dilihat pada kelompok PH yang berkumpul di kawasan parkir di tepi padang golf setakat ini.

Pemimpin PH dan calon mereka Muhammad Aiman Zainali mengambil sarapan, berbual-bual dan sesetengah penyokong mengambil kesempatan berswafoto.

Berpakaian baju Melayu Muhammad Aiman, 30, nampak yakin dan terus menguntum senyum apabila disapa penyokong.
Turut kelihatan Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo.

7.19am, Parkir belakang Dewan Seri Chempaka: Calon BN, Zakaria Hanafi, tiba di tempat berkumpul penyokong BN menaiki kenderaan pikap Isuzu D-Max.

Lengkap berbaju Melayu biru, bersamping dan bersongkok, Zakaria melayan permintaan penyokong yang meminta bergambar.

Kira-kira 30 orang penyokong menunggu seawal jam 7.15am di khemah BN.


Tiada ulasan: