Ahad, 24 Februari 2019

K'jaan mahu wujudkan pusat sehenti kebajikan atlet, bekas atlet


   

Kerajaan akan mewujudkan pusat sehenti atau 1 stop center dalam usaha menjaga kebajikan atlet dan bekas atlet.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pusat itu akan diwujudkan dalam tempoh terdekat.

“Kita tak boleh tutup mata dan lupakan mereka (atlet) yang dah lama berkhidmad kepada negara, bersara atau keluar daripada program.

“Dalam bab ini, pendirian kerajaan adalah, kita akan tubuhkan 1 stop center untuk atlet. Sekarang kita dah masukkan dalam perancangan dan akan disiapkan dalam tempoh terdekat.

"Tempat ini untuk atlet muda atau bakal atlet, mereka yang sedang jadi atlet atau mereka yang dah bersara. Untuk dapatkan maklumat dan bantuan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan pertandingan bowling anjuran Persatuan Wartawan Wanita Malaysia di Golf and Country Club Bukit Jalil, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai nasib atlet yang hidup dalam kesusahan selepas kerajaan tidak menyambung kontrak mereka.

Media sebelum ini melaporkan kisah bekas pelumba basikal para kebangsaan, Shukor Farhan Suliman dan Mohd Nur Syafiq Suhaimy yang merupakan jurumudi pelumba basikal buta yang terpaksa berniaga jambu di tepi jalan.

Kedua-dua mereka tidak ditawarkan semula menjadi atlet sepenuh masa di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN).

Mengulas lanjut, anggota Parlimen Muar itu berkata pihaknya akan berbincangan dengan pihak terlibat bagi menyelesaikan isu kebajikan melibatkan atlet.

“Bukan hanya ada satu kes tapi ada banyak kes, kerajaan tak tahu. Kita follow up tapi kita tak ada maklumat terperinci.

“Tapi kalau ada satu tempat mudah bukan hanya atlet akan datang tapi umum tahu ada masalah, ada tindakan bersama.

“Selain itu kita wujudkan skim lindungan khas untuk atlet, bekas atlet supaya dapat rawatan terbaik di hospital dan itu akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sementara itu, mengulas perkembangan lain, Syed Saddiq yang juga ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menafikan kewujudan usaha untuk membuat undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Itu tak betul, saya merupakan seorang Ahli Majlis Presiden PH, tak pernah dibincangkan… memang pimpinan PH berikan sokongan tak belah bahagi pada Dr Mahathir dan kita bersatu hati dalam bab ini,” katanya.


Tiada ulasan: