Rabu, 13 Februari 2019

DAP patut teruskan perjuangan anti lompat parti

Wartawan MalaysiaGazette

Datuk Seri Wee Ka Siong
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR- DAP patut meneruskan perjuangan membantah tindakan wakil rakyat lompat parti seperti yang mereka perjuangkan semasa menjadi pembangkang dahulu.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, perjuangan tersebut bagaimanapun dilihat sudah terhenti sekarang.

“Apabila isu lompat parti timbul sekarang (apabila DAP sudah menjadi kerajaan), hanya segelintir pemimpin sahaja yang berani bersuara manakala yang lain hanya diam membisu.

“Apakah ini sahaja yang mampu dilakukan oleh sebuah parti pemerintah? Sekarang, mereka semua sudah sekapal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ka Siong, DAP yang mempunyai sebanyak 42 kerusi parlimen yang mana enam daripadanya adalah menteri penuh dan tujuh timbalan menteri hanya berani membuat kenyataan-kenyataan untuk ‘menjaga hati’ sahaja ketika berhadapan dengan isu tersebut.

Semalam, tujuh bekas Ahli Parlimen UMNO melompat parti dengan menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) termasuk Ahli Parlimen Larut yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: