Khamis, 14 Februari 2019

Bekas MP UMNO ‘lompat parti’ bukan sesuatu yang mengejutkan – Mukhriz

THE MALAYSIAN TIMES



ALOR SETAR: Penyertaan bekas Anggota Parlimen UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu dilihat sebagai satu tindakan yang akan memberi kekuatan kepada Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata tindakan pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima kesemua Anggota Parlimen itu perlu dilihat daripada sudut positif dan tidak patut menerima bantahan daripada mana-mana parti komponen dalam PH.

“Secara umumnya semua pihak sudah tahu perkara ini mungkin berlaku, bila ada Anggota Parlimen keluar satu parti jadi bebas, akan ada kemungkinan berlaku (lompat parti)… ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan,” beliau dipetik seperti berkata oleh Bernama.

Pada Selasa, enam bekas Anggota Parlimen UMNO iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut),Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) menerima kad keanggotaan Bersatu daripada Dr Mahathir.

Turut menerima kad keanggotaan Bersatu semalam ialah Anggota Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin, yang menyertai Bersatu hujung tahun lepas.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata tindakan Bersatu menerima tujuh bekas Anggota Parlimen UMNO ke dalam parti itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Katanya beliau telah membangkitkan keperluan untuk membincangkan perkara itu dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH kepada Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad, yang bersetuju agar ia diadakan.

“Perkara ini harus dibincang dalam Mesyuarat Majlis Presiden atas semangat PH,” kata Lim yang juga Menteri Kewangan.

Tiada ulasan: