Sabtu, 16 Februari 2019

AirAsia mohon maaf, minta Siti Aisyah Thomas tampil

Wartawan MalaysiaGazette
 
 MGF_7347-681x454




KUALA LUMPUR – AirAsia memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang terpaksa ditempuh oleh seorang penumpang yang tidak dibenarkan menaiki pesawat ke Tawau pada 10 Februari lalu setelah terlewat lima minit untuk penerbangan.

Dalam kenyataan ringkas kepada MalaysiaGazette, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, pihaknya menantikan maklumbalas terus dari tetamu yang terlibat bagi menyelesaikan perkara yang tidak diingini itu.

AirAsia juga menyedari tentang insiden tersebut dan telah cuba menghubungi penumpang berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara sebenar yang berlaku.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan luahan rasa tidak puas hati seorang warganet selepas seorang wanita yang dikenali sebagai Siti Aisyah Thomas yang kematian bapanya di Tawau tidak dibenarkan menaiki pesawat atas alasan sudah terlewat.

Netizen itu menyifatkan kakitangan AirAsia yang bertugas pada waktu itu tidak berhati perut.

Ini kerana, Siti Aisyah telah bertolak dari Johor Bahru ke klia2 untuk mendapatkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Tawau pada pukul 5.20 petang pada hari kejadian.

Namun, penumpang itu terlewat lima minit apabila tiba di pintu pada pukul 5.25 petang.

Abang Siti Aisyah yang telah berada dalam pesawat telah memohon ihsan kepada anak-anak kapal bagi membenarkan adiknya menaiki pesawat terakhir yang terus ke Tawau, malangnya rayuan itu tidak dilayan.

Akibatnya, Siti Aisyah terpaksa mengeluarkan wang lain untuk membeli tiket penerbangan transit ke Kota Kinabalu dan hanya dapat pulang ke Tawau pada 11 Februari. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: 
Kru AirAsia didakwa tak timbang rasa kepada penumpang kematian ayah
Juruterbang ulas kisah penumpang lewat 5 minit tak dibenar masuk pesawat

Tiada ulasan: