Selasa, 29 Januari 2019

Vell Paari jelaskan mengapa Tamil Nesan ditutup

 
   
Keputusan untuk menutup akhbar Tamil Nesan bukan satu keputusan yang mudah, kata pengarah urusannya, S Vell Paari.

"Akhbar itu pertama kali diterbitkan pada 24 September 1924, dan ia mempunyai sejarah yang lama.

“Tetapi sejak 10 tahun lalu, para pemegang saham terpaksa memberi subsidi untuk menanggung kos operasi akhbar itu," katanya sambil mengesahkan bahawa Tamil Nesan, sebagai antara akhbar tertua di Asia Tenggara akan berhenti beroperasi pada 1 Februari.

"Tahun demi tahun, kami berdepan dengan peningkatan kos percetakan, dan seperti semua media cetak, edaran kami berkurangan kerana saingan pertumbuhan media dalam talian. Juga, hasil iklan menurun bagi semua media cetak."

Saingan sengit untuk bajet iklan kecil dengan akhbar Tamil lain seperti Malaysia Nanban, Makkal Osai dan Tamil Malar juga menjadi satu cabaran.

"Memandangkan Tamil Nesan adalah satu-satunya akhbar Tamil yang adalah sebahagian daripada Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar (NUNW), maka kos purata kami lebih tinggi berbanding dengan akhbar Tamil lain di negara ini," kata Vell Paari yang juga adalah setiausaha agung MIC.

Ironinya, akhbar itu menyaksikan peningkatan dalam pembacaan selepas PRU14, tetapi ini hanya menimbulkan masalah kerana ia terpaksa mencetak lebih banyak naskah, manakala hasil pengiklanan terus merosot.

"Kira-kira tujuh bulan lalu, harga kertas naik dan kami terpaksa menanggung kos tambahan sebanyak RM90,000 kepada RM100,000 sebulan.

“Kami juga jangkakan penurunan dalam edaran kerana Tamil Nesan dianggap akhbar mesra-BN.

"Walaupun peredaran meningkat dan terdapat pendapatan daripada iklan, namun kami tetap kerugian," kata Vell Paari.

Tiada ulasan: