Jumaat, 18 Januari 2019

Umno: Menteri PH gred A, buat apa rombak kabinet?

MALAYSIAKINI

   
Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Tajuddin Abdul Rahman secara sinis menyifatkan menteri kabinet Pakatan Harapan (PH) kebanyakkannya gred A.

Oleh itu katanya, kerajaan PH pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak perlu melakukan rombakan kabinet.

"Menteri PH gred A, buat apa rombak (kabinet)? Menteri PH sudah bagus, rakyat "very happy" (sangat gembira)," katanya pada Sesi Teh Tarik Bersama Media di Kuala Lumpur petang semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan berhubung pandangannya terhadap prestasi menteri-menteri kerajaan PH kini.

Tajuddin berkata, majoriti menteri PH tidak mempunyai pengalaman untuk menguruskan pentadbiran negara.

Malah katanya, ada dalam kalangan mereka "tidak layak" untuk memegang jawatan berkenaan, namun kerajaan PH tiada pilihan lain.

Pada 15 November lalu, Mahathir berkata tiada rancangan untuk beliau melakukan rombakan kabinet buat masa ini.

Bercakap pada sidang media di Sidang Kemuncak Asean ke-33 di Singapura, Mahathir berkata kabinet yang dibentuknya masih baru dan tiada keperluan untuk berbuat demikian.
Antara nama-nama yang disebutkan dalam rombakan kabinet seperti yang tersebar di media sosial termasuklah Menteri Pendidikan Mazslee Malik dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun.

Sementara itu, Tajuddin ketika diminta mengulas mengenai wujud khabar angin kononnya enam bekas anggota Parlimen parti itu yang lompat parti ingin kembali menyertai Umno.

Anggota parlimen Pasir Salak itu berkata, beliau tidak mahu mengulas lanjut perkara itu kerana ia hanyalah bersifat khabar angin yang masih samar kesahihannya.

Dengan memetik kata-kata individu tertentu, Tajuddin berkata mereka yang lari dari medan perjuangan sewajarnya 'ditembak'.

Katanya, alasan mereka yang meninggalkan parti bahawa Umno sudah tiada hala tuju adalah alasan untuk menjayakan agenda peribadi mereka.

"Siapa kata kita (Umno) tiada hala tuju, malah kita sudah jelaskan hala tuju untuk Umno kembali bangkit, nak jadi pembangkang yang berwibawa. Siapa kata Umno tak ada hala tuju?," soalnya.

Khabar angin tentang 6 MP Umno

Pada 12 Disember lalu, seramai 14 wakil rakyat Umno dan pemimpin kanan di Sabah bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Mereka termasuklah lima anggota parlimen dan sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun).
Antara alasan yang diberikan adalah kepimpinan Umno pusat tidak mempunyai arah politik yang jelas.

Ia kemudian disusuli dengan enam lagi anggota parlimen Umno bertindak keluar parti yang diketuai Anggota Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin; Anggota Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz; Anggota Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid; Anggota Parlimen Mersing, Dr Abdul Latiff Ahmad dan Anggota Parlimen Tasik Gelugor, Shabudin Yahaya.

Keputusan itu juga menyaksikan Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas presiden parti kepada timbalannya Mohamad Hasan.

Terbaru khabar angin bertiup kencang kononnya enam MP Umno itu dikatakan akan kembali ke pangkuan Umno.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: