Isnin, 28 Januari 2019

Sukan renang paralimpik: ‘Dia nak batal, batallah’ – Dr M

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak kecewa dengan keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang membatalkan hak penganjuran Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019.

“Dia nak batal, batallah. Saya dapati dunia terpaksa ikut (cakap ) Israel, saya tidak faham kerana dunia ada kuasa tetapi masih terpaksa ikut Isreal.. tetapi kita tidak ikut,” katanya ketika ditanya sama ada beliau kecewa dengan keputusan IPC.

IPC membuat keputusan itu pada mesyuarat di London semalam selepas Kementerian Dalam Negeri Malaysia gagal memberikan jaminan diperlukan oleh perenang para Israel untuk menyertai kejohanan, bebas dari diskriminasi dan selamat dalam kejohanan.

Malaysia sepatutnya menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan diadakan di Kuching pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Dr Mahathir ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat tertutup bersama peneraju badan berkanun sempena Program Eksekutif Pengurusan Tertinggi Badan Berkanun Persekutuan di sini hari ini.

Beliau turut ditanya adakah pembatalan tersebut akan memberi kesan kepada Malaysia sekiranya ingin mengadakan kejohanan Olimpik di negara ini pada masa akan datang, lapor Bernama.

Dr Mahathir berkata: “Kita tak boleh anjurkan Olimpik, kita boleh anjurkan acara yang lain”.

Dr Mahathir menegaskan bahawa Malaysia masih berpegang untuk tidak menjalinkan hubungan dengan Israel susulan tindakan kejam rejim Zionis terhadap penduduk Palestin sejak sekian lama.

“Kita berpegang pada prinsip kita dan prinsip kita ialah Israel adalah negara penjenayah dan negara itu telah melanggar undang-undang antarabangsa dengan tidak ada siapapun bersuara.

“Jadi kita punya hak menyuarakan perasaan dan dasar kita sendiri,” kata beliau.

Katanya, tindakan Malaysia juga sama seperti Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah yang tidak membenarkan rakyat daripada negara tertentu memasuki negara mereka.

“Ini biasa, tetapi kita punya sebab sendiri. Orang-orang ini (atlet Israel) bukan mencari perlindungan, tidak ketakutan, sakit atau susah.

“Mereka datang dari negara yang tidak mematuhi undang-undang antarabangsa dan kita perlu tetap berpegang pada prinsip kita,” tambah beliau.

Dr Mahathir turut ditanya mengenai tindakan beliau semasa menjadi perdana menteri sebelum ini yang pernah membenarkan atlet kriket Israel untuk bermain di Malaysia pada 1997.

“Kita juga membenarkan kanak-kanak sekolah Israel datang ke sini dulu untuk menunjukkkan kepada mereka bahawa orang Islam bukan pengganas tetapi orang biasa, kita bercakap dengan orang lain. Kita berkelakuan baik dan tidak melakukan sesuatu yang salah terhadap mereka,” kata beliau

Tiada ulasan: