Ahad, 27 Januari 2019

Shafie alu-alukan SPRM siasat GLC Sabah


Shafie Apdal berkata, banyak GLC di Sabah menghadapi masalah 
kewangan, isu pengurusan dan ketirisan. (Gambar Bernama)
 
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Benta Wawasan Sdn Bhd di Tawau.

Bagaimanapun, katanya, ia bukannya tumpuan kerajaan negeri untuk menekankan siasatan ke atas semua GLC di Sabah yang berdepan masalah.

Sebaliknya, mereka mahu mencari punca utama masalah dihadapi GLC sebelum memulakan penstrukturan semula.

Presiden Warisan itu berkata, banyak GLC di Sabah menghadapi masalah kewangan, isu pengurusan dan ketirisan, antaranya Benta Wawasan yang merupakan anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah milik kerajaan negeri.

“Syarikat itu menjelaskan alasannya dan mereka sedang berusaha membetulkan perkara itu.

“Terpulang kepada agensi itu (SPRM), jika mereka mahu menyiasat,” katanya selepas melancarkan jersi dan pemain bola sepak Sabah musim 2019 hari ini.

Kerajaan negeri terdahulu dilapor menyalurkan RM750 juta kepada Benta Wawasan, tetapi kini tinggal RM30 juta.

Benta Wawasan turut diberikan tanah seluas 150,000 hektar untuk dimajukan, tetapi hanya 40,000 hektar digunakan, dengan 25,000 hektar ditanam kelapa sawit.

Shafie mempersoalkan apa yang berlaku kepada baki 110,000 hektar dalam satu acara dengan Benta Wawasan, semalam.

Katanya, beliau mahu memastikan semua GLC di Sabah berada dalam kedudukan kewangan yang sihat.“GLC diwujudkan bukan hanya untuk menyediakan peluang pekerjaan, tetapi lebih kepada menghasilkan pendapatan untuk kerajaan negeri.

“Dalam usaha ini, kita kena tahu apa keadaan pengurusan GLC yang ada, bukan sahaja membabitkan Benta Wawasan, tetapi Warisan Harta, Yayasan Sabah serta banyak lagi GLC yang kita tahu punyai aset yang dulunya cukup banyak, tetapi saat ini kita tidak tahu mana aset ini.”

Tiada ulasan: