Khamis, 17 Januari 2019

Sebar gambar undi pos PRK Cameron Highlands, SPR lapor polis, SKMM

Hari pengundian awal PRK Cameron Highlands ialah 22 Januari 
dan hari mengundi ditetapkan pada 26 Januari ini.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini membuat laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengambil tindakan terhadap penyebaran gambar kertas undi pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands di media sosial.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan berkata, ia adalah kertas undi yang dikeluarkan kepada pengundi pos pada 13 Januari lalu.

Katanya, tindakan menyebarkan gambar kertas undi itu ialah satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Tuduhan pihak tertentu yang mengatakan SPR telah mengeluarkan kertas undi sebelum hari pengundian adalah satu fitnah dan berniat jahat.

“SPR mengingatkan pengundi dan semua pihak sentiasa menjaga kerahsiaan dan tidak mempamerkan kertas undi mana-mana pilihan raya kepada umum, sama ada di laman media sosial atau lain-lain.”

Terdahulu, seorang pengguna Facebook berkongsi sekeping gambar didakwa kertas undi PRK Cameron Highlands yang kemudiannya mengundang pelbagai reaksi umum dan persepsi negatif terhadap SPR.

Bulan lalu, SPR menetapkan hari pengundian awal PRK Cameron Highlands ialah 22 Januari dan hari mengundi pada 26 Januari ini.

Seramai 32,009 pengundi berdaftar layak mengundi dalam PRK itu, termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir dan 385 pengundi kurang upaya.

Tiada ulasan: