Ahad, 13 Januari 2019

Rakyat muak program 'ala cendawan' tiap kali PRK - Penganalisis

 
   

PRK Cameron | Setiap kali musim pilihan raya kecil, pelbagai program kementerian ‘muncul’ di kawasan terlibat dan keadaan itu tidak ubah seperti ‘cendawan’ tumbuh selepas hujan, kata penganalisis politik B Anbumani.

Katanya, amalan itu juga bukan baru, malah telah berlanjutan sejak dahulu dan menteri sering menggunakan alasan kononnya program dianjurkan telah lama diatur untuk kawasan tersebut.

"Rakyat sudah muak dan menyampah dengan taktik politik ala cendawan. Bila tiba sahaja musim pilihan raya, macam-macam (program) muncul, timbul berleluasa.

"Rakyat juga meluat dengan tindakan segelintir anggota kerajaan yang menurunkan jentera kerajaan secara agresif kononnya untuk aktiviti kementerian ketika musim pilihan raya yang memberikan pelbagai persepsi negatif," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau mengulas kritikan susulan lawatan beberapa menteri Pakatan Harapan (PH) ke Cameron Highlands tidak lama sebelum tarikh penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 12 Jan lalu.

Menyifatkan amalan itu perlu dihentikan segera, Anbumani menggesa semua pihak berganding bahu dan tidak bergantung kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semata-mata.

Katanya, SPR di bawah pengerusinya, Azhar Azizan Harun sedang melakukan pelbagai usaha termasuk menutup kelompongan tersebut namun suruhanjaya itu tidak mampu melakukannya secara solo.

“Cukup - cukuplah apa yang berlaku dulu. [...] Kita tidak boleh sering mendebatkan isu ini ketika musim pilihan raya sahaja,” katanya lagi.

Tidak lama sebelum hari penamaan calon semalam, beberapa menteri dilapor melakukan lawatan rasmi ke Cameron Highlands.

Antaranya ialah Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran yang membuat lawatan pada 29 Dis, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy (3 Jan), Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr. Xavier Jayakumar (5 Jan),
Menteri Pengangkutan Anthony Loke (7 Jan), Menteri Pertahanan Mohamad Sabu (7 Jan), dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa (10 Jan).

Perkara itu mendapat kritikan termasuk daripada pengerusi Bersih Thomas Fann yang menyifatkan tindakan menteri terbabit sebagai ‘salah guna jawatan’ dan sumber kerajaan.

Thomas juga dilapor mencadangkan undang-undang pilihan raya dipinda bagi menghalang ahli politik berkempen di satu-satu kawasan selepas kerusi pilihan raya diumumkan kosong.
Kata Thomas, pindaan tersebut perlu dilakukan untuk menjadikan penggunaan sumber kerajaan untuk berkempen sebagai satu kesalahan, yang mana tidak disebut dalam undang-undang sedia ada.

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah mempertahankan kunjungan beliau ke Cameron Highlands sebagai lawatan kerja dan tiada kaitan dengan kempen politik.

Anthony Loke dan Mohamad Sabu juga menafikan dakwaan salah guna jentera atau sumber kerajaan dan menjelaskan lawatan mereka ke Cameron Highlands telah lama dijadual.

'Cadangan Bersih tak relevan'

Mengulas lanjut, Anbumani berpendapat cadangan Bersih untuk meminda undang-undang pilihan raya sebagai tidak relevan.

Katanya, apa yang diperlukan adalah penambahbaikan dalam berkempen bagi mengelakkan serta mengawal tindakan yang ‘melampaui batas’.

“Itu bukannya demokrasi. Proses demokrasi tidak seharusnya menghalang mana-mana pihak untuk bercakap mahupun berkempen termasuk ahli politik kerana kita tidak boleh menafikan hak mereka.

Cadangan tersebut tidak relevan dalam konteks negara kita,” katanya lagi.

Kerusi parlimen Cameron Highlands diumumkan kosong 30 Nov lalu oleh Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Lumpur yang membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan mengarahkan supaya pilihan raya diadakan semula.

Dalam PRU lalu, calon BN, C Sivarraajh (MIC) memenangi kerusi tersebut.

Antara empat PRK setakat ini, PRK Cameron Highlands merupakan yang pertama diadakan di negeri dikuasai BN.

PRK yang akan berlangsung 26 Jan itu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara M Manogaran sebagai calon PH, Ramli Mohd Nor (BN), dan Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee sebagai calon bebas.


Tiada ulasan: