Khamis, 31 Januari 2019

'PRK Semenyih penentu hala tuju kerjasama PAS-Umno'

 

   
Penganalisis politik berpendapat hala tuju kerjasama antara PAS dan Umno akan lebih jelas selepas  Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih.

Malah menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar, kerjasama antara kedua-dua parti itu bergantung pada keputusan PRK yang akan berlangsung 2 Mac ini.

"PRK Semenyih akan menjadi kayu ukur sejauh mana kerjasama itu dapat diteruskan. Jika pembangkang menang kemungkinan besar kerjasama itu akan berterusan, sebaliknya akan berlaku sekiranya mereka kalah.

"Saya tak nampak kerjasama PAS dan Umno boleh bertahan lama sekiranya mereka mengalami kekalahan dalam PRK Semenyih nanti.

"Kalau kita melihat kepada tiga PRK di Selangor yang lalu menunjukan bahawa rakyat Selangor masih bersama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk di kawasan majoriti Melayu walaupun sudah wujud kerjasama PAS dan Umno pada peringkat awal," katanya kepada Malaysiakini.

Kerjasama antara PAS dan Umno yang merupakan dua parti besar dalam blok pembangkang dilihat sebagai antara faktor penting yang membolehkan BN mempertahankan kerusi parlimen Cameron Highlands pada PRK 26 Jan lalu.

Bagaimanapun Rusdi berkata, berdasarkan rekod lampau dan prinsip perjuangan kedua-dua parti, masih terdapat ketidakpastian sama ada hubungan kerjasama tersebut mampu bertahan.
Katanya, jika dilihat sejarah hubungan kedua-dua parti ini menunjukkan mereka tidak boleh kekal lama kerana masing-masing mempunyai kepentingan tertentu selain ideologi politik yang berbeza.

"Keadaan ini agak sukar untuk mereka bekerjasama dalam jangka masa panjang. Kalau kita tengok sejarah kerjasama PAS dan parti-parti lain di Malaysia juga tidak menunjukkan hasil yang baik dan berakhir seperti layang-layang putus tali.

"Konflik antara kedua-dua parti kemungkinan besar akan berlaku nanti apabila mereka nak buat pembahagian kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) terutama di negeri-negeri yang mempunyai majoriti pengundi-pengundi Melayu," jelasnya.

Bersifat spontan

Sementara itu bagi Pensyarah Kanan Sekolah Perdana Univeristi Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata, kerjasama kedua-dua parti itu yang terjalin kini berlaku secara spontan ekoran isu-isu yang wujud selepas pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, PAS dan Umno kini menemui titik persamaan melalui pemahaman terhadap isu-isu melibatkan Melayu-Islam.

"Antaranya apabila mereka sama-sama melihat kerajaan PH ini dikawal oleh DAP. Jadi dalam situasi Umno tertekan, berlaku perpecahan dan keluar parti, Umno melihat sangat penting untuk mereka bekerjasama dengan PAS pada masa sekarang.
"PAS juga melihat isu-isu survival Melayu-Islam ini sesuatu yang perlu mereka tangani, saya melihat hubungan PAS dan Umno buat masa ini satu simulasi bersifat spontan.

"Jadi kerjasama yang terjalin sekarang ini berasaskan isu yang berlaku sekarang. Bukan disebabkan oleh dua parti ini mempunyai dua titik persamaan dalam konteks perjuangan antara dua buah parti," katanya.

Tambah Dr Mazlan, kelangsungan kerjasama PAS-Umno itu perlu dilihat dan mengambil kira aspek sejarah hubungan kedua-dua parti.

"Saya lihat isu survival di sini, maksudnya PAS keluar gabungan BN pada 1978 itu sebenarnya berpunca daripada pergelutan antara dua parti itu sendiri.

"Ini kerana, PAS dan Umno adalah dua parti yang bersaing sesama mereka dan pengaruh yang mereka rebut adalah segmen sama iaitu pengundi-pengundi Melayu," jelasnya.

Justeru, kata Mazlan, persoalan kerjasama hari ini kekal atau tidak bergantung kepada isu-isu yang dibawa oleh kedua-dua parti berdasarkan situasi politik semasa.

Bertahan jika ada kepentingan

Sementara itu, bagi Profesor Madya Dr Awang Azman Pawi hubungan erat PAS dan Umno boleh bertahan selagi masing-masing masih mempunyai kepentingan antara satu sama lain.

Pensyarah Universiti Malaya itu berkata, Umno memerlukan PAS untuk mendapatkan sokongan dalam bentuk undi bagi memastikan kerusi-kerusi majoriti tipis pada PRU lepas dapat dikekalkan.

"PAS pula memerlukan Umno sebagai rakan sekutu baru bagi menggerakkan kerjasama untuk menentang musuh bersama mereka pada masa kini iaitu PH.

"Selagi tidak ada konflik timbul, selagi itulah kerjasama akan terus dapat berlangsung.

"Konflik boleh berlaku sekiranya berlaku isu seperti perebutan kawasan untuk ditandingi di peringkat PRK, pemilihan calon yang paling layak untuk bertanding, isu percanggahan ideologi dan pendirian politik," katanya.

Tambah Awang Azwan, situasi sekarang menyaksikan PAS mampu diyakini oleh Umno bahawa kerjasama ini bermanfaat dan penting untuk orang Melayu dan Islam.

"Penyokong PAS dan Umno berjaya diyakini melalui kempen politik yang memberi gambaran bahawa DAP sangat jahat dan bermaharajalela dalam PH. Naratif bersifat politik ini berjaya mencetuskan sentimen antiDAP setakat ini selepas PRK cameron Highland," ujarnya.

Tiada ulasan: