Khamis, 17 Januari 2019

PRK CAMERON: PAS KERAH PENGUNDI SOKONG BN

Wartawan Watan-Online

Pas akan membantu kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dengan mengerah penyokong serta pengundi PAS di kawasan terbabit.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti pimpinan beliau akan menyokong calon BN, Mohd Ramli Mohd Nor berikutan beliau bukan daripada UMNO, PAS atau mana-mana parti pembangkang yang lain.

Abdul Hadi berkata beliau turut akan membantu kempen di Cameron Highlands pada 20 Januari ini.

“Calon itu hanya menggunakan logo BN dan kita akan sokong.

“…Insya-Allah, kita akan turun berkempen bagi memastikan penyokong PAS keluar pada hari mengundi sebagai tanda sokongan dan kerjasama, “katanya lapor media selepas menghadiri Majlis Perasmian Dewan Dato Seri Tuan Guru di Darul Iman Traning Central (DITC) Teluk Kalong, Terengganu pada Selasa.

Mengulas lanjut, Hadi berkata beliau yakin undi daripada penyokong PAS akan menjadi penentu kemenangan calon BN.

“Kita akan ketahui sama ada undi PAS menjadi penentu selepas kita lakukan post mortem selepas PRK.

“Berdasarkan Pilihan Raya Umun Ke-14 (PRU-14) memang jumlah undi PAS perlu diambil kira dalam menentukan kemenangan calon, “katanya.

PRK Cameron Highlands yang dijadualkan pada yang dijadualkan pada 26 Januari ini bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) serta dua calon Bebas.

PH meletakkan bekas calon kerusi Cameron Highlands dalam pilihan raya umum Mei tahun lepas daripada DAP, M Manogaran, sementara BN mempertaruhkan bekas pegawai kanan polis, Ramli Mohd Nor manakala dua calon Bebas iaitu Sallehuddin Ab Talib dan Wong Seng Wee.


Tiada ulasan: