Ahad, 13 Januari 2019

PKR mohon maaf kenyataan senator 'ugut tok batin'

MALAYSIAKINI

Hasil carian imej untuk LOGO PKR

Naib Presiden PKR Tian Chua hari ini tampil mewakili PKR memohon maaf kepada masyarakat Orang Asli susulan kenyataan Ahli Dewan Negara Bob Manolan Mohd.

Ia berhubung kenyataan senator itu pada 11 Jan lalu yang mencadangkan agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak membayar gaji ketua kampung dan tok batin yang tidak menyokong kerajaan.

"PKR tidak menyetujui sebarang bentuk ugutan untuk mendapatkan undi. Sokongan daripada pengundi perlu diraih melalui dedikasi dan komitmen berkhidmat untuk rakyat.

"Bagi pihak PKR, saya dengan ikhlas memohon maaf kepada masyarakat Orang Asli yang terasa hati dengan kenyataan cuai tertentu dari parti kami.

"Saya juga menggesa semua pemimpin untuk lebih berhati-hati dan sensitif kepada sentimen awam, dan peka dengan undang-undang semasa kempen pilihan raya," kata Tian Chua dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan Bob Manolan yang menjadi pertikaian itu diucapkan ketika beliau menghadiri sesi dialog dengan tok-tok Batin di kubu BN di Pos Betau, Jelai Di Cameron Highlands 11 Jan lalu.

Berdasarkan rakaman suara yang disiarkan, Bob Manolan dapat didengar sebagai berkata "tak sokong, kita buang" dan mana batin-batin yang tak sokong kerajaan, kita tak bayar gaji dia. Betul! Jangan bayar gaji dia".

Kenyataan itu mengundang kritikan termasuk daripada kalangan tok batin sendiri kerana dianggap menggunakan ugutan untuk mendapatkan sokongan.

Susulan itu, Pemuda Umno Pahang 12 Jan lalu membuat laporan polis dan mendakwa senator berkenaan mengugut pemimpin masyarakat Orang Asli.

Bagaimanapun, terdapat pemimpin PH yang percaya Bob Manolan tidak bermaksud untuk membuat ugutan dan kenyataannya itu "disalah tafsir".

Dalam kenyataan susulannya, Bob Manolan menafikan membuat kenyataan ugutan itu dan menjelaskan bahawa kenyataan beliau pada 11 Jan lalu merujuk kepada tok batin yang memegang jawatan dalam Umno.

Dalam kenyataan sama hari ini, Tian Chua menegaskan bahawa PKR menghormati hak tok batin dan masyarakat Orang Asli untuk menyokong mana-mana parti politik tanpa mengambil kira dana atau jawatan yang mereka terima daripada kerajaan pusat.

"Ketua kampung, pemimpin masyarakat, atau penjawat awam secara umumnya, bebas mengundi parti pilihan mereka.

"Dana atau pelantikan kerajaan pusat tidak seharusnya menghalang penerimanya daripada memilih parti politik pilihan sendiri," kata Tian Chua.


Tiada ulasan: