Ahad, 13 Januari 2019

PH ‘beri’ duit kepada Orang Asli boleh pula?

Kasthuri Jeevendran

Sivarrajh
Naib Presiden MIC Datuk Sivarraajh Chandran


CAMERON HIGHLANDS – Beberapa keping gambar yang didakwa sekumpulan penyokong  calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran termasuk seorang wanita memberi wang kepada Orang Asli tersebar di media sosial.

Ia mengundang komen penyandang kerusi Cameron Highlands, Datuk C. Sivarrajh yang melahirkan rasa kesal berhubung insiden tersebut kerana kemenangannya sebelum ini dibatalkan atas tuduhan memberikan rasuah kepada pengundi Orang Asli.

Kata Sivarrajh dalam twitternya; “Ini takpa sebab mereka federal government. Kalau kita bagi kenduri untuk jentera pun salah besar lima tahun tak boleh mengundi”.

Antara yang dilihat dalam gambar tersebut selain Manogaran termasuk Pengerusi DAP Selangor merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara merangkap Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh.

Walaupun tidak jelas berlaku ‘hulur menghulur duit’ namun jelas dapat dilihat wang nota RM50 dan RM5 diberikan kepada kumpulan Orang Asli dalam pertemuan tertutup itu.

Sehingga kini, belum ada apa-apa penjelasan rasmi berhubung perkara tersebut malah belum diketahui apakah ‘cerita sebenar’ di sebaliknya.

Pada November lepas, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Mei lalu yang memberikan kemenangan kepada calon BN adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh Sivarraajh.

Dalam penghakimannya, Azizah berpandangan bahawa pempetisyen, Manogaran berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wujud amalan rasuah yang mana wang itu diberikan kepada pengundi.

Pada PRU-14, Sivarraajh memenangi kerusi Cameron Highlands dengan memperoleh majoriti 597 undi menewaskan Manogaran bersama calon Pas, PSM dan Berjasa dalam pertandingan lima penjuru.

Sebelum itu, Sivarrajh menafikan beliau memberikan rasuah dan turut mempersoalkan bagaimana nilai keadilan itu berbeza perspektif dengan kerajaan baharu.

“Jika kami bagi makanan pun, katanya itu rasuah. Yang ini (gambar tular) bagaimana pula? Saya pasti mereka ada ‘penjelasan’ mereka sendiri. Mereka kini kerajaan, mereka ‘kuat’. Undang-undang dengan mereka.

“Saya harap tindakan akan di ambil jika benar-benar telus, itu sahaja,” ujarnya. –MalaysiaGazette

Tiada ulasan: