Ahad, 27 Januari 2019

Petisyen tuntut iktiraf Malaysia negara Islam cecah 72,259 tandatangan

Siti hafidah

Memperkasa undang-undang Islam antara intipati petisyen



BANGI – Petisyen yang menyasarkan 75,000 tandatangan bagi menuntut Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara Islam kini sudah mencecah 72,259 tandatangan.

Petisyen yang dilancarkan Sekretariat Malaysia Negara Islam (MNI) pada 26 Disember lalu menegaskan bahawa istilah sekular tidak pernah wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia antara lain turut menuntut supaya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan secara jelas di dalam Parlimen bahawa Malaysia adalah negara Islam, dan ahli-ahli Parlimen juga mesti menyokong.

“Yang di-Pertuan Agong menitahkan dengan jelas bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, sekali gus menafikan Malaysia sebagai negara Sekular,” kata petisyen itu.

Petisyen itu turut terkandung lapan seruan kempen Malaysia Negara Islam iaitu:

1. Menolak seruan yang mengatakan Malaysia negara sekular;
2. Menegaskan bahawa Malaysia ialah Tanah Melayu dan bangsa Melayu sebagai penduduk asalnya;
3. Mengajak rakyat untuk berjuang melaksanakan kewajiban Islam dalam konteks bernegara;
4. Memperkasa peranan undang-undang Islam dalam sistem kehakiman negara;
5. Mengukuhkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan;
6. Mengetengahkan realiti konsep keadilan negara Islam yang bertunjangkan kuasa Ilahi berbanding kekurangan tamadun lain yang bertunjangkan kepada hawa nafsu;
7. Mempromosi asimilasi budaya dan adat Melayu dengan Islam dari aspek bahasa, nama, adat, budaya, pakaian, nilai murni dan makanan;
8. Mengajak rakyat kembali mengenal kehebatan Tamadun Melayu Islam.

Orang ramai boleh menandatangani petisyen itu dengan melayari platform change.org.


Tiada ulasan: