KOTA KINABALU: Dewan
Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) akan menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong
PAS (DHPP) Muda Sabah dengan kerjasama DHPP Sabah.
Menurut Ketua Pemuda PAS Sabah, Zulzaim
Hilmee Abidin penubuhan tersebut turut mendapat persetujuan daripada
Ketua DHPP Sabah, Satail Majungkat.
Katanya, DHPP Muda akan disertai anak
muda dari kalangan masyarakat bukan Islam yang mahu bersama perjuangan
PAS bagi memperkukuh parti tersebut di seluruh negeri ini.
Maklumnya juga, penyertaan dan sokongan
golongan muda dalam kalangan rakan-rakan bukan Islam kepada PAS di
negeri ini bukan perkara baharu.
"Ia memberi isyarat bahawa Pemuda PAS
sangat terbuka dan konsisten mengangkat budaya toleransi yang diamalkan
oleh masyarakat di Sabah.
"Walaupun kita sebagai parti bukan
kerajaan di Sabah, namun kita mempunyai hala tuju jelas dan mengamalkan
prinsip Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
"Kita mengalu-alukan kepada semua pihak
untuk bersama memperjuangkan kepentingan masyarakat Bumiputera di negeri
ini," ujar Zulzaim.
Tambah beliau, DHPP Muda akan berpartisipasi untuk bersama-sama menjadi ejen semak dan imbang terhadap prinsip 'good governance' oleh Kerajaan Sabah.
Selain itu menurutnya, juga bagi
memastikan hak asasi anak negeri, perpaduan nasional yang menjurus
kepada soal integriti dan banyak perkara lain turut sama diperjuangkan.
Justeru itu jelasnya, Pemuda PAS Sabah
akan memastikan DHPP Muda di seluruh negeri ini akan bergerak aktif
menjelang hujung tahun 2019 bagi persiapan khusus menghadapi PRU15
nanti. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan