Isnin, 21 Januari 2019

PAS gesa kerajaan wujud peraturan ketat banteras doula esktrem

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

Ibu hamil dimomokkan dengan keburukan bersalin di fasiliti hospital



BANGI – Dewan Muslimat PAS Malaysia menggesa kerajaan mewujudkan satu akta atau peraturan yang ketat dalam mengawal kegiatan ‘doula ekstrem’ di negara ini.

Timbalan Ketuanya, Dr Rosni Adam berkata, kewujudan kumpulan ‘doula ekstrem‘ ini telah mempengaruhi para ibu hamil dengan kefahaman songsang.

Beliau berkata, di Malaysia, masih terdapat kelompok doula ini yang melakukan tugas di luar daripada peranan mereka.

Walhal, katanya, menurut definisi American Pregnancy Organization, doula hanyalah seorang yang terlatih dalam membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan seperti ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas dan fizikal secara sentuhan seperti urutan kepada para ibu hamil dan bukan bertugas untuk menyambut kelahiran bayi.

“Mereka juga tidak bertauliah merawat atau mengendalikan sebarang kecemasan berkaitan proses kelahiran.

“Namun, mereka meracuni pemikiran para ibu hamil dengan keburukan bersalin di fasiliti hospital, di samping menjanjikan proses bersalin yang ideal di rumah. Ibu-ibu hamil ini juga dimomokkan dengan keburukan pembedahan Caesarean,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS menggesa semua pihak agar bersama-sama berganding bahu dalam membanteras gejala yang tidak sihat ini daripada terus merebak umpama virus di dalam masyarakat.

“Dewan Muslimat PAS Malaysia berpandangan bahawa adalah penting untuk kerajaan membanteras segala bentuk penyelewengan, terutamanya dari sudut ilmu kesihatan kerana ianya melibatkan nyawa yang tidak berdosa.

“Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah, menyelamatkan nyawa daripada sebarang kemudaratan adalah wajib,” katanya.

Kerajaan juga, katanya, perlu mengiktiraf peranan para doktor pakar sebagai ‘advocators of contemporary medical practice’ di media sosial.

“Ini supaya para doktor mampu berlari seiring dengan revolusi teknologi maklumat yang sememangnya memberi kesan (positif, juga negatif) terhadap perkembangan bidang perubatan,” katanya.


Tiada ulasan: