Jumaat, 18 Januari 2019

PAS: Bagitahu PH, tunai janji PRU sebelum buat janji di PRK

 
   
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyindir Pakatan Harapan (PH) dan mengingatkan gabungan itu agar menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-14 sebelum menabur janji bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

"Saya tengok janji manifesto pun tentunya tak boleh buat. Kemudian mereka (PH) turun untuk janji semula kalau (supaya) rakyat boleh terima apa dia janji.

"Sedangkan apa dia buat dalam manifesto (PRU ke-14) yang bertulis pun dia tak boleh tunai. Ini satu benda yang peliklah.

"Sebab itu kalau mereka datang berjanji dulu, bagitahu dia (PH) tunai janji-janji manifesto dulu sebelum janji baru kepada rakyat di Cameron Highlands," katanya kepada pemberita ketika melawat penduduk di pasar pagi Kuala Medang, Jelai hari ini.

Terdahulu, dalam lawatan di pasar pagi itu, Tuan Ibrahim bertembung dengan rombongan calon PH Manogaran. 

Turut serta dalam rombongan PH itu ialah Anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh.

Sementara itu, Tuan Ibrahim turut memaklumkan bahawa PAS yang akan membantu BN dalam PRK tersebut akan membawa 700 hingga 800 jentera untuk berkempen menyokong calon BN, Ramli Mohd Nor.

Tiada ulasan: