Ahad, 20 Januari 2019

Najib senyum: Buat apa nak layan Chef Wan

 
   

“Itu Chef Wan. Buat apa nak layan Chef Wan?” Ringkas dan sinis jawapan daripada bekas perdana menteri Najib Razak apabila diminta mengulas niat Chef Wan yang ingin menamparnya.

Malah, Najib menjawab soalan pemberita itu dengan tersenyum semasa sesi ramah mesra di The Podium, di Damansara hari ini.

Kata-kata itu diluahkan sebagai maklum balas terhadap kenyataan Chef Wan hari ini yang dengan garang menggertak ingin menampar bekas pengerusi Felda Global Venture (FGV) Isa Samad dan Najib yang disifatkannya ‘kurang ajar’.

Chef Wan bukan sahaja menyalahkan Najib atas apa yang dipanggilnya sebagai salah urus Felda, malah menuduh anggota parlimen itu memberikan ‘rasuah’ dalam bentuk imbuhan kepada peneroka.

Mengulas hal itu, Najib menafikan tuduhan Chef Wan itu dan menjelaskan imbuhan itu semata-mata bagi menolong peneroka Felda.

Tak ada beza bukan rasuah

“Bukan soal rasuah. Kita tolong semua dalam Felda, penyokong Umno ke, PAS ke, PH ke, semua dapat tak ada beza.

“Kalau tak ada beza, bukannya rasuah,” katanya lagi.

Pada 2017, Najib pernah mengumumkan enam insentif untuk peneroka Felda dalam beberapa bentuk bantuan.

Salah satunya merupakan bayaran insentif khas sebanyak RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak penuh.

Sementara itu, Najib turut meluahkan kegusaran terhadap pendapatan peneroka Felda yang terjejas teruk baru-baru ini.


Katanya, ada peneroka yang ditemuinya di Sungai Koyan mengadu hanya memperoleh hasil RM74 sahaja untuk bulan lepas.

“Ada yang lebih rendah dari tu. Macam mana mereka nak hidup?” katanya lagi.


Tiada ulasan: