Isnin, 28 Januari 2019

Najib dakwa prestasi ekonomi akan semakin lembab, petik Jabatan Perangkaan





PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membunyikan amaran prestasi ekonomi akan semakin lembab untuk bulan-bulan akan datang, berdasarkan kepada laporan Indeks Pelopor (IP) oleh Jabatan Perangkaan Negara.

Indeks tersebut, yang dikumpulan pada November 2018, dikeluarkan oleh jabatan tersebut minggu lepas.

Najib menjelaskan indeks itu memantau prestasi ekonomi ke hadapan dan petunjuk bagi keadaan ekonomi pada jangkamasa akan datang.

“Maksudnya, bacaan indeks untuk November 2018 menggambarkan keadaan ekonomi untuk suku pertama dan suku kedua tahun depan,” katanya di Facebook.

Memetik laporan itu, Najib berkata indeks susut bagi tempoh 6 dari 7 bulan yang dipantau selepas pilihan raya umum ke-14 iaitu dari Mei sehingga November.

Menurut Najib, indeks mencatatkan angka negatif untuk 5 bulan berturut-turut, dan “lebih membimbangkan” ialah angka penyusutan semakin menjunam untuk 5 bulan yang terakhir.

“Berdasarkan laporan indeks ini, Jabatan Perangkaan telah membuat rumusan bahawa prestasi ekonomi negara akan semakin lembab untuk bulan-bulan yang akan datang,” katanya.

Bekas perdana menteri berkata indeks yang sama menunjukkan kenaikan untuk setiap bulan dari Januari sehingga April, iaitu sebelum kerajaan bertukar tangan.

“Kita tunggu menteri kewangan kita mengeluarkan kenyataan bahawa ini salah Najib,” katanya merujuk kepada Lim Guan Eng.

Tiada ulasan: