ISMA WEB
Polis siasat dakwaan dua pemandu kereta berlumba
GEORGE TOWN
– Pemandu kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan di
Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang sehingga sebuah kenderaan lain
terhumban ke dalam laut, awal pagi semalam, didapati positif dadah.
Ketua
Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul
Hamid berkata, ujian saringan awal lelaki berusia 21 tahun dan merupakan
pendandan rambut itu mendapati dia positif ganja.
“Polis
telah menghantar sampel darah lelaki itu ke Jabatan Kimia untuk ujian
lengkap bagi mengetahui kandungan alkohol dan dadah di dalam darahnya,
keputusan mengenainya dijangka diketahui dalam masa terdekat, ” katanya
di sini hari ini.
Beliau
berkata, lelaki itu kini dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan
Baru, dekat sini kerana mengalami kecederaan pada kepala, kaki dan
tangan akibat kemalangan berkenaan.
Katanya,
sebelum ini, pemandu Toyota Vios itu dirawat di Hospital Seberang Jaya
dan dibenarkan pulang petang semalam, namun dia telah pengsan di
rumahnya menyebabkan keluarganya menghantarnya ke hospital swasta untuk
menerima rawatan lanjut.
Nik Ros
Azhan berkata, pemandu kereta Toyota Vios dan mangsa yang terhumban ke
dalam laut itu merupakan rakan sejak mereka di sekolah rendah.
“Dua
lelaki itu bersama lima lagi rakan (lelaki) menghadiri majlis sambutan
hari jadi seorang daripada kawan mereka di sebuah pusat hiburan di Lebuh
Chulia, di sini. Kesemua mereka pulang ke rumah masing-masing pada
pukul 2.30 pagi.
“Lima
rakan mereka tinggal di bahagian pulau manakala mangsa dan pemandu
kereta Toyota Vios itu tinggal di kawasan Butterworth,” katanya.
Menurutnya,
polis turut menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan dua pemandu
kereta itu sedang berlumba ketika kemalangan berkenaan.
Dalam
kemalangan pukul 2.54 pagi itu, sebuah kereta terhumban ke dalam laut
selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan di Kilometer 4.0
Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, dekat sini awal pagi semalam.
Pemandu
kereta yang terhumban ke dalam laut itu adalah seorang lelaki dikenali
sebagai Moey Yun Peng berusia 20 tahun dan merupakan pelajar sebuah
kolej swasta.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan