Jumaat, 18 Januari 2019

Melayu mundur: Kenyataan Mujahid ibarat bapa malas, tak bertanggungjawab

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin 

Patut cermin diri sendiri, apa tujuan bersongkok sejak jadi menteri agama?



BANGI – “Mujahid ibarat bapa tidak bertanggungjawab dan malas berfikir. Ibarat bapa yang terlalu berburuk sangka pada anak sendiri dan ambil jalan mudah, buang anak itu.”

Demikian tegas Ahli Majlis Syura Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Mohd Hazizi Abd Rahman, mengulas kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof yang mendakwa, orang Melayu akan terus mundur jika isu agama dan bangsa asyik dijadikan agenda perjuangan mereka.

Beliau berkata, Mujahid ibarat membuang anak sendiri kerana dikatakan bermasalah dan ambil anak orang lain kerana dikatakan jujur.

“Ibarat bapa yang terlalu berburuk sangka pada anak sendiri dan ambil jalan mudah, buang anak itu. Untuk menggantikan tempat anak itu, diambilnya anak orang lain yang selama ni menghasut.

“Itulah perumpamaan pemimpin muslim Melayu yang membuang perjuangan agama dan bangsa, lalu mengutip apa-apa saja idea yang boleh menjustifikasikan kerusi kuasanya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Ustaz Hazizi menegaskan, Islam dan Melayu tidak akan hilang di tanah warisan ini, sama ada Mujahid wujud atau tidak wujud.

“Malaysia adalah negara Islam walaupun DAP yang didukungi Mujahid tidak suka. Mujahid elok cermin diri sendiri, apakah agaknya tujuan dia bersongkok sejak menjadi menteri agama?,” soalnya.

Semalam, Dr Mujahid berkata, orang Melayu terus mundur jika isu agama dan bangsa asyik dijadikan agenda perjuangan mereka.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu berkata, perasaan takut dalam kalangan orang Melayu terhadap kaum dan agama lain adalah sentimen dimainkan UMNO serta Barisan Nasional (BN) sebelum ini, yang tidak sepatutnya masih wujud selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

“Orang Melayu dan masyarakat Islam di negara ini tidak sepatutnya takut dengan DAP jika parti itu menang dalam pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

“Jika BN menang… itu isyarat tidak baik kerana isu dimainkan mereka masih isu agama. Mereka akan kata, habislah orang Islam jika DAP menang.

“Akan tetapi, siapa pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH)? DAP ke? Siapa menteri yang jaga agama ? DAP ke ? Tiba-tiba, hari ini mereka (UMNO) nak jadi ‘champion’ (juara) dalam isu ini pula,” katanya ketika berucap dalam ceramah PH di FELDA Sungai Koyan, di sini, malam tadi.


Tiada ulasan: