Khamis, 17 Januari 2019

MB Pahang: Kita ada cara pastikan Ramli tak lompat

MALAYSIAKINI


   

PRK CAMERON l Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail yakin calon BN bagi kerusi parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor, tidak akan melompat jika beliau menang pada pilihan raya kecil 26 Januari nanti.

“Saya nasihat jangan dengar khabar angin, tapi kita ada cara kita tidak bagi dia lompat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabat Umno di Tanah Rata, hari ini.

Ditanya sama ada Ramli akan diminta menandatangani perjanjian untuk tidak menyeberang ke mana-mana parti Pakatan Harapan, Wan Rosdy sekadar menjawab: "ada cara... kita belajar daripada pengalaman.

"Saya boleh memberi jaminan, jika Ramli menang, dia tidak akan melompat, sebagai pengerusi BN Pahang, saya jamin, dia tidak akan melompat," katanya.


Terdahulu hari ini, sumber yang memegang jawatan tertinggi dalam sebuah parti komponen BN memberitahu Malaysiakini mengenai kebimbangannya mengenai kemungkinan Ramli menjadi anggota parlimen bebas atau kerajaan selepas menang.

Sumber itu juga mendakwa bahawa sudah ada parti komponen Pakatan Harapan yang cuba “melamar” bekas pegawai polis kanan itu.

Ramli sendiri telah menafikan dakwaan itu. Ramli adalah dari suku kaum Semai dan tidak mewakili mana-mana parti komponen BN, termasuk Umno.

Umno - parti utama dalam BN - sejak tewas pada pilihan raya umum 9 Mei telah menyaksikan beberapa siri pembelotan.

Tindakan itu menyebabkan parti yang pernah berkuasa di Parlimen berkurangan dari 54 kerusi menjadi 38.


Tiada ulasan: