Isnin, 21 Januari 2019

MAS mohon maaf isu iklan menu babi


 
Malaysia Airlines Berhad (MAB) hari ini memohon maaf jika promosi makanan yang diterbitkan dalam ruangan iklan majalah syarikat itu, Going Places, edisi Januari 2019 menyinggung mana-mana pihak.

Ia susulan kritikan sesetengah pihak mendakwa ruangan iklan, Restaurant Openings, menyertakan hidangan babi yang menurut mereka tidak sesuai dengan sensitiviti umat Islam.

"Dalam iklan majalah, Going Places edisi Januari lalu memaparkan restoran yang menyediakan pelbagai jenis masakan sebagai sebahagian daripada menu mereka.

“Foto itu mempamerkan potongan daging lembu wagyu dan juga sotong. Seperti mana majalah gaya hidup lain, ulasan restoran itu adalah untuk mempromosikan kedai makan kepada penumpang daripada seluruh dunia.

"Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan ulasan itu langsung tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana penumpang,” kata MAB seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.

Semalam, bekas Pengarah Urusan MAB Abd Aziz Abdul Rahman dilaporkan menyelar promosi makanan dan gambar daging babi yang diterbitkan dalam iklan itu yang baginya tidak sesuai dengan MAS selaku penerbangan negara.

Berdasarkan semakan ketika berita ini ditulis, artikel January Eats: The Best Restaurants To Dine At This Month yang merupakan edisi atas talian majalah Going Places, tiada gambar disertakan pada perenggan yang merujuk menu babi berkenaan.

Bagaimanapun, pada satu perenggan, artikel itu ada menyebut perkataan "pork" (daging babi) dua kali bagi promosi sebuah restoran di Kuala Lumpur.

MR :  Hebat semenjak PH memerintah ada menu babi pula

Tiada ulasan: