Hanya 9 Raja Melayu akan buat pemilihan pada mesyuarat khas
KUALA LUMPUR
– Khamis 24 Januari ini akan menyaksikan pemilihan Yang di-Pertuan
Agong buat kali ke-16 sejak Malaysia mencapai kemerdekaan lebih 61 tahun
lalu.
Proses
pemilihan ini adalah kesinambungan kepada sistem kerajaan beraja
berasaskan Perlembagaan yang diamalkan di negara ini dengan raja atau
sultan yang bergelar Yang di-Pertuan Agong akan bersemayam selama lima
tahun.
Kekosongan
jawatan Ketua Utama Negara itu adalah berikutan peletakan jawatan
Sultan Muhammad V menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan pada 6
Januari lepas, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam
sejarah institusi beraja di negara ini.
Bagaimanapun
kematangan institusi beraja menghadapi situasi ini cukup terserlah
sehinggakan ia dapat ditangani dengan cara yang cukup harmoni tanpa
sebarang krisis.
Tatacara pemilihan Agong
Apabila
terdapat kekosongan pada jawatan Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja
akan menjalankan fungsinya sepertimana dalam Perkara 38(6)(a)
Perlembagaan Persekutuan untuk memilih Yang di-Pertuan Agong dan
Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Hanya sembilan Raja Melayu yang menjadi ahli Majlis Raja-Raja akan membuat pemilihan itu pada mesyuarat khas yang ditetapkan.
Cara pemilihan itu dilakukan adalah seperti berikut:-
Bahagian
Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan menyatakan seorang Raja
layak dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong kecuali Raja itu belum
dewasa atau seseorang Raja itu tidak berhasrat dipilih menjadi Yang
di-Pertuan Agong.
Seseorang
Raja juga tidak layak untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong
sekiranya Majlis Raja-Raja mengambil ketetapan melalui undi sulit bahawa
Raja itu tidak sesuai untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong
disebabkan oleh kelemahan akal atau tubuhnya, atau kerana apa-apa sebab
lain.
Pakar
Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A. Aziz berkata, Majlis Raja-Raja
bertindak menurut budi bicara berhubung peranan memilih Yang di-Pertuan
Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau memecat Yang di-Pertuan
Agong daripada jawatannya.
Berkaitan
proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong, Seksyen 2, Jadual Ketiga
Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan
Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang negerinya
ialah yang pertama dalam senarai pemilihan.
Jika Raja
itu tidak menerima tawaran tersebut, Majlis Raja-Raja akan menawarkan
jawatan itu kepada Raja yang negeri berikutnya dalam senarai pemilihan
itu dan demikianlah seterusnya sehingga seorang Raja menerima jawatan
tersebut.
Senarai penggiliran
Susunan
penggiliran pertama pelantikan Yang di-Pertuan Agong dilakukan di atas
persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh
pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis,
Terengganu , Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Senarai
pemilihan tersebut dinyatakan dalam Seksyen 4 yang bermaksud, pada
pemilihan pusingan pertama, senarainya adalah mengikut pengiktirafan
keutamaan antara raja-raja sendiri. Namun, bagi pemilihan pusingan
selepas itu, senarai pemilihan adalah mengikut kedudukan Negeri di dalam
senarai yang disusun mengikut raja di negeri-negeri yang mana,
mana-mana raja yang telah menerima jawatan Yang di-Pertuan Agong akan
dipindahkan ke hujung senarai pemilihan.
Shamrahayu
menjelaskan, pada Seksyen 4(2)(b), Jadual Ketiga Perlembagaan
Persekutuan, ada dinyatakan “apabila ada sesuatu perubahan Raja sesuatu
Negeri yang ada dalam senarai ketika itu, Negeri itu hendaklah
dipindahkan ke hujung senarai itu.”
Tambahnya,
peruntukan ini menunjukkan ada kemungkinan bagi negeri Pahang yang
baharu saja memasyhurkan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai
Sultan Pahang keenam pada 15 Januari lalu akan diletakkan di hujung
senarai pemilihan yang terkini berdasarkan kepada Seksyen 4(2)(b) itu.
“Ada
kemungkinan Pahang yang sepatutnya dalam senarai teratas akan beralih
kepada hujung senarai pemilihan kerana perubahan Raja yang berlaku di
negeri tersebut. Namun keputusan tertakluk kepada budi bicara Majlis
Raja-Raja,” katanya.
Pemilihan secara sulit
Sementara itu, laman web rasmi Majlis Raja-Raja turut mengandungi maklumat prosedur bagaimana pengundian dijalankan.
Sekiranya
Raja atau Sultan negeri tersebut berada dalam senarai teratas dan
bersetuju untuk dicalonkan, baginda boleh diundi secara sulit oleh
Majlis Raja-Raja.
Kertas undi yang digunakan tidak bernombor serta ditandakan dengan pen dan dakwat sama.
Kemudiannya
kertas undi akan dimasukkan ke dalam peti serta dimusnahkan sama ada
dibakar atau dirincih di hadapan Raja-raja sebaik sahaja keputusan
undian diumumkan.
Raja yang
paling muda dari segi pemerintahan dan tidak tersenarai sebagai calon
Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dipilih untuk
mengira kertas undi bersama-sama dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.
Dalam
mesyuarat pemilihan itu, hanya Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar
Raja-raja dan Penolong Setiausaha Majlis Raja-raja sahaja yang terlibat
dalam proses pemilihan itu.
Majoriti lima undi
Semasa
pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan membekalkan satu kertas
undi pada setiap Raja dan setiap Raja diminta menandakan pendapatnya
sama ada Raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai atau
tidak sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Calon
mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan
Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada
baginda.
Jika Raja
yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun raja itu gagal memperolehi
undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan iaitu dengan
mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak
dipilih untuk diundi.
Proses hanya akan selesai selepas Baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong.
Selepas
itu, barulah Majlis Raja-Raja mengisytiharkan Baginda sebagai Yang
di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.-
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan