Khamis, 17 Januari 2019

Majlis Ulama Indonesia mahu nama pelanggan Vanessa Angel didedahkan

MALAYSIAKINI

   

Majlis Ulama Indonesia (MUI) menggesa polis Jawa Timur mendedahkan nama-nama pelanggan Vanessa Angel, selebriti yang kini disiasat terbabit aktiviti pelacuran.

MUI juga mendesak polis untuk melakukan siasatan ke atas pelanggan-pelanggan terbabit yang membuat pesanan untuk mendapatkan khidmat seks secara dalam talian.

Menurut Ketua MUI Jawa Timur, KH Abdusshomad Buchori, sekiranya tindakan itu diambil, ia dapat menjejaskan kegiatan pelanggan Vanessa.

Katanya, amalan pelacuran dilarang keras dan melanggar undang-undang serta agama.

“Nama-nama pelanggan perlu disebutkan sekurang-kurang dengan kod. 

"Tapi yang penting mereka harus dipanggil untuk siasatan,” katanya seperti dipetik portal berita negara itu.
 Abdusshomad yakin perkara ini dapat memberi pengajaran kepada mereka yang sering melanggan pelacur selain mengubah mereka untuk menjadi manusia lebih baik.

Menurutnya, isteri-isteri yang baik di rumah juga boleh terhindar daripada perbuatan negatif si suami.

“Ada perempuan baik di rumah, tetapi dijangkiti HIV/ AIDS kerana suaminya yang nakal.

“Saya minta polis untuk menyiasat dan membuat pendedahan kerana aktiviti pelacuran tidak baik dan dilarang,” katanya.

Vanessa dicekup polis ketika berada di ranjang hotel mewah bersama seorang ahli perniagaan berusia 45 tahun yang hanya identitinya hanya didedahkan sebagai R pada 5 Jan lalu. 

Bagaimanapun, hingga kini polis masih belum mendedahkan nama lain pelanggan yang turut mendapatkan khidmat memuaskan nafsu dari Vanessa.


Tiada ulasan: