Isnin, 14 Januari 2019

Kerajaan sedia perluaskan skim Perkeso untuk petani - Mahfuz

Bernama
Kerajaan sedia perluaskan skim Perkeso untuk petani - Mahfuz
Mahfuz berkata petani juga berdepan risiko kemalangan. - Astro AWANI/Shahir Omar
 

PADANG TERAP: Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri yang ditawarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mungkin diperluas kepada golongan petani yang berisiko menghadapi kemalangan dalam pekerjaan mereka.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata ini berikutan sambutan kurang memberangsangkan daripada kumpulan sasaran sebelum ini iaitu pemandu teksi dan penyedia perkhidmatan e-panggilan.

Setakat ini hanya 10 peratus daripada kira-kira 100,000 pemandu teksi dan e-panggilan mendaftar dan mencarum bawah skim itu, katanya kepada pemberita selepas melawat tapak cendawan volvariella di Kampung Musa, Pedu, pada Ahad.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Sumber Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah Azman Nasrudin.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata petani juga berdepan risiko kemalangan memandangkan mereka terlibat dalam pengendalian jentera serta mesin, dan perlu dilindungi Perkeso.

Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri yang berkuat kuasa 1 Jun 2017 diwujudkan bagi memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri dengan permulaan skim ditumpukan pada pemandu teksi sertaa e-panggilan.

Ia memberi perlindungan kepada pencarum daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan selain menyediakan faedah tunai di samping menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional. -- BERNAMA

Tiada ulasan: