Selasa, 15 Januari 2019

Kenapa PM biarkan MB Johor ‘dibuli’ Singapura?

Wartawan MalaysiaGazette

xMGF16102018_SIDANG-DEWAN-RAKYAT34-681x454
Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian


KUALA LUMPUR – Kenapa pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) membiarkan sahaja Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian ‘dibuli’ dan ‘dibelasah’ oleh pemimpin Singapura.

Pucuk pimpinan itu termasuklah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Itu persoalan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

“Saya melihat dengan teliti dan berasa sedih kerajaan Persekutuan sama ada Perdana Menteri, Menteri Luar atau Menteri Pertahanan hatta Timbalan-Timbalan Menteri di Putrajaya senyap sunyi yang memekakkan apabila mengambil sikap membisu dan berdiam diri membenarkan menteri-menteri Republik Singapura di dalam Parlimen dan di luar Parlimen termasuk Menteri Pertahanan Singapura membelasah Datuk Osman Sapian yang dituduhnya menceroboh masuk ke perairan Singapura,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hassan, Singapura menjadikan MB Johor sebagai kambing hitam dan punching bag manakala pemimpin -pemimpin di Putrajaya ambil sikap tidak peduli.

“Pemimpin-pemimpin kerajaan Johor juga ambil sikap membisu dan kelu seribu bahasa membiarkan Datuk Osman mempertahankan diri seorang diri dalam menghadapi tuduhan-tuduhan liar dari Singapura sedangkan beliau menjalankan tugasnya demi mempertahankan kedaulatan wilayah dan maruah negara dan negeri,” ujarnya lagi.
hassan karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim
Menurut Hassan, sikap pemimpin-pemimpin kerajaan Persekutuan dan negeri yang seolah-olah bacul dan dayus membiarkan MB Johor diserang oleh Singapura.

Sebagai Ahli Parlimen dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor yang menjadi sebahagian dari tunggak yang menyokong kerajaan PH, Hassan berkata, beliau berhak menimbulkan perkara itu dan menuntut jawapan kerajaan.

“Saya akan bangkitkan perkara ini secara rasmi di Parlimen bila sidang Parlimen bulan Mac depan,” ujarnya.

Osman sebelum itu menafikan dirinya menceroboh perairan Singapura sebaliknya hanya mahu melihat anggota Jabatan Laut menjalankan tugas di atas Kapal MV Pedoman di kawasan sempadan perairan bukan melakukan provokasi.

Malah kehadirannya diketahui oleh Wisma Putra.

Susulan dakwaan tersebut, Singapuran dikatakan menangguhkan mesyuarat Jawatankuasa Bersaa Peringkat Menteri untuk Iskandar Malaysia baru-baru ini.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: