Ahad, 27 Januari 2019

Kemenangan BN dalam PRK manifestasi imej baru Umno bebas rasuah, kata penganalisis


Penganalisis percaya rakyat lebih memberi tumpuan kepada isu 
prestasi PH sebagai kerajaan dalam PRK Cameron Highlands semalam.

PETALING JAYA: Penganalisis politik berpendapat kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands dengan majoriti lebih besar merupakan manifestasi imej baru Umno yang tidak terbeban dengan isu rasuah.

Bekas pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusof berkata, perubahan itu berlaku selepas presiden parti tersebut, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi laluan kepada timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetuai Umno.

“Mohamad ternyata berjaya dalam pilihan raya kecil pertama yang disertai oleh beliau selaku pemimpin yang menjalankan tugas presiden Umno.

“Strategi yang tepat, khususnya penggunaan kaedah calon langsung yang tidak datang daripada mana-mana parti dalam BN, menyebabkan parti komponen tidak mempunyai alasan untuk tidak menyokong calon itu,” katanya kepada FMT.

Semalam BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti lebih besar menerusi kemenangan pertamanya dalam PRK selepas pilihan raya umum ke-14 selepas calonnya, Ramli Mohd Nor, mencatat sejarah menjadi wakil Orang Asli pertama di Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bekas pegawai kanan polis itu mendapat 12,038 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada Pakatan Harapan (PH), M Manogaran yang memperolehi 8,800 undi, manakala 2 calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing mendapat 314 undi serta 276 undi.

Majoriti 3,238 undi yang diperolehi BN hari ini adalah yang tertinggi sejak pilihan raya umum pada 2008, 2013 dan 2018, iaitu masing-masing sebanyak 3,117 undi, 462 undi dan 597 undi.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata, turut membantu kemenangan BN di Cameron Highlands ialah peranan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang masih mempunyai pengikut yang kuat di negeri berkenaan.

“Ini ditambah pula dengan penglibatan sangat aktif Najib sendiri berkempen dengan turun padang dan membuat ‘troll’ sinis terhadap PH yang sangat mencuit hati dan mengusik hati rakyat, termasuk pengundi di situ.

“Di pihak PH sendiri, ia gagal menangkis serangan BN dalam pelbagai isu yang relevan dengan kehidupan seharian pengundi, termasuk para peneroka. Daripada kegagalan menunaikan sesetengah janji manifesto hinggalah kepada isu perkauman dan keagamaan,” katanya.

Tiada ulasan: