Isnin, 21 Januari 2019

Joget ‘twist’ Tommy Thomas, Richard Malanjum cemar kredibiliti badan kehakiman

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin 

Apa jaminan tiada unsur campur tangan dalam urusan penghakiman



BANGI – Tindakan memalukan berikutan isu joget ‘twist’ Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara baru-baru ini, telah mencemarkan kebebasan dan kredibiliti institusi kehakiman serta perundangan Malaysia.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, perbuatan Tommy Thomas dan Tan Sri Richard Malanjum itu secara tidak langsung memperlihatkan institutisi kehakiman negara sudah tidak lagi boleh dipercayai.

Beliau berkata, tindakan individu-individu tertinggi dalam badan kehakiman yang mesra menari sepentas dengan cabang kerajaan serta peguam persendirian menimbulkan keraguan terhadap campur tangan dalam penghakiman.

“Apa jaminan tidak ada campur tangan dalam pihak berkuasa dalam urusan penghakiman?

“Perbuatan berjoget ini sudah menjatuhkan tahap kredibiliti badan keadilan dan kehakiman apabila mereka gagal menunjukkan tahap pegangan akhlak yang tinggi,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas penularan video berdurasi seminit 37 saat dipercayai dirakam semasa Majlis Makan Malam Pembukaan Tahun Perundangan 2019 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah.

Video tular berkenaan memperlihatkan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Thomas menari ‘twist’ mengikut rentak irama sebuah lagu Inggeris, yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong bersama beberapa peguam dan aktivis liberal seperti Datuk S Ambiga dan Siti Zabedah Kassim.

Aksi kedua-dua mereka heboh diperbincangkan pengguna media sosial sejak Sabtu lalu, dengan lebih ribuan perkongsian di Facebook serta Twitter.


Tiada ulasan: