Khamis, 17 Januari 2019

Hilang kawalan di selekoh, tiga beranak maut di Gua Musang

Vivi Sumanti, Astro Awani
Hilang kawalan di selekoh, tiga beranak maut di Gua Musang
mayat tiga beranak yang beralamat di Kampung Awah, Paloh Rawa, Machang itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat. - Foto JBPM
 
 
GUA MUSANG: Tiga sekeluarga maut manakala tiga lagi  cedera dalam nahas kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah lori di Kilometer 63, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di Kampung Sungai Lakit, Gua Musang, Kelantan, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah pemandu Perodua Viva, Siti Rasyidah Aidrus, 21, bapanya, Aidrus Ibrahim, 72, dan ibunya, Gayah Che Hassan, 65.

Bagaimanapun, seorang pemandu lori dan dua kelindan yang cedera masih belum dikenalpasti identiti mereka.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Mohd. Taufik Maidin, berkata kejadian berlaku ketika tiga beranak berkenaan dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai.
 
Katanya, siasatan awal mendapati, ketika melalui jalan selekoh di kawasan kejadian, kereta yang dipandu Siti Rasyidah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori muatan barangan runcit dari arah bertentangan.

Foto JBPM
Foto JBPM

Kejadian itu menyebabkan tiga beranak itu mengalami kecederaan parah selepas tersepit dalam kenderaan mereka yang separuh remuk itu.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Manakala, pemandu dan kelindan lori dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan.

Tambah Mohd. Taufik, mayat tiga beranak yang beralamat di Kampung Awah, Paloh Rawa, Machang itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Foto JBPM
Foto JBPM

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.47 pagi.

Beliau yang mengetuai 11 anggota bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kemalangan dan berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam masa setengah jam. 
 
 

Tiada ulasan: