Isnin, 21 Januari 2019

HANIPA PERTAHAN ‘TARI MENARI’ SATU ‘FRATEMITI’

Wartawan Watan Online
 



Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin mempertahankan ‘kelakuan’ Menteri Di Jabatan Perdana, Peguam negara dan Ketua Hakim Negara menari berjoget kerana ianya suatu tradisi kebaratan dan hanya dilihat ‘pihak-pihak suci’ tidak ‘patuh syariah’ sahaja.

Beliau berkata video yang tular itu hanyalah program makan malam dan hakikatnya adalah sebahagian daripada tradisi tradisi fraterniti peguam di Malaysia.

“Ya, saya akui ia  mungkin kelihatan sedikit kebaratan dan dilihat oleh ‘pihak-pihak suci’ tidak ‘patuh syariah, ‘ jelas Hanipa.

“Tetapi, bagi saya, menyokong dan memberi ‘nyawa’ dan ‘oksigen’ suatu masa dahulu pada rejim kleptokratik juga bukanlah Islamik atau ‘patuh syariah’. Jadi.. tolong berhenti berlakon!,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohamed Hanipa mengulas kontroversi yang timbul berikutan klip video tular yang menunjukkan aksi Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Hakim Tan Sri Richard Malanjum dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong menari twist di pentas pada majlis makan malam ‘Opening of Legal Year 2019’ anjuran Sabah Law Society di Kota Kinabalu, Jumaat lepas.

Jelasnya, fraterniti peguam di Malaysia mempunyai banyak tradisi yang agak unik dan hanya ada dalam profesion itu sahaja, malah kadang-kadang dilihat seperti ‘terlalu ke-Inggerisan.’?

Antara tradisi berkenaan, katanya, peguam pelatih perlu melakukan kunjungan hormat ke kamar hakim apabila diterima masuk menjadi peguam manakala semasa di dalam mahkamah, para peguam akan memanggil rakan mereka ‘rakan saya yang arif’ meskipun mereka merupakan pihak lawan di dalam mahkamah.

Aksi berkenaan mendapat perhatian ramai dalam media sosial termasuk pihak pembangkang, antaranya Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menyifatkan kelakuan itu sebagai memalukan institusi kehakiman dan perundangan negara kerana ia melibatkan soal integriti badan kehakiman.
 

Tiada ulasan: