Ahad, 13 Januari 2019

Dakwaan Najib mengenai harga sawit tidak bertanggungjawab, kata Teresa Kok


Menteri Industri Utanma, Teresa Kok berkata, seperti komoditi 
lain, minyak sawit berhadapan turun-naik harga.
 
PETALING JAYA: Menteri Industri Utama, Teresa Kok menolak dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa pembatalan projek diterajui negara China di negara ini memberi kesan ke atas harga minyak sawit.

Beliau berkata, seperti komoditi lain, minyak sawit mengalami turun-naik harga, dan mengakui wujud lebihan pengeluaran produk itu sekarang.

“Berlaku turun-naik, hatta semasa beliau menjadi perdana menteri,” kata Ahli Parlimen Seputeh itu selepas satu acara di kawasan Parlimennya di sini, hari ini.

Teresa berkata, selama ini China membeli minyak sawit daripada Indonesia dan Malaysia, tetapi membeli lebih banyak daripada negara jiran itu kerana harganya lebih murah.

Kira-kira 60% minyak sawit China dibeli daripada Indonesia, dan 30% daripada Malaysia, kata beliau, dengan menambah keadaan itu akan berterusan tahun ini.

“Syarikat China sensitif harga. Sebagai bekas perdana menteri dan menteri kewangan, sikap Najib membuat kesimpulan mudah bahawa pembatalan projek (dengan China) menyebabkan kejatuhan harga adalah tidak bertanggungjawab.”

Dalam masjlis dialog bersama rakyat di Kerinchi semalam, Najib berkata, China merupakan pasaran terbesar komoditi Malaysia.

Katanya, sewaktu menjadi perdana menteri, beliau menggesa Beijing membeli lebih banyak minyak sawit, lalu menyebabkan harga produk itu tinggi pada masa itu.

Beliau mendakwa, apabila kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) membatalkan projek melibatkan syarikat dari China di negara ini dan hubungan 2 hala terjejas, China mengurangkan pembelian minyak sawit.

Ketika ditanya sama ada permintaan terhadap minyak sawit daripada China merosot, Teresa berkata, Lembaga Minyak Sawit Malaysia akan mengeluarkan angka yang sedang dikumpulkan.

Teresa berkata, beliau tidak akan terperanjat sekiranya berlaku kemerosotan terhadap produk itu berikutan lebihan pengeluaran minyak sawit dan minyak kacang soya di seluruh dunia.

Kata beliau, di Malaysia, stok akhir minyak sawit mencapai rekod 3.22 juta tan metrik pada Dis tahun lepas.

Beliau berkata, harga minyak sawit kini melepasi angka RM2,000 satu tan metrik, selepas meningkat ke paras RM1,7000 2 bulan lepas.

“Kita berharap untuk mencapai harga RM2,700 satu tan metrik pada tahun 2019,” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan surat pelantikan kepada anggota Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) bagi zon Seputeh.

Tiada ulasan: