Selasa, 15 Januari 2019

Bob Manolan minta maaf: Kit Siang dusta - MCA

MALAYSIAKINI

   

PRK CAMERON | Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang cuba melindungi kesilapan Senator Bob Manolan Mohd baru-baru ini, dakwa Naib Presiden MCA Ti Lian Ker.

Dalam kenyataan hari ini, Ti berkata Lim mendakwa anggota parlimen Iskandar Puteri itu yang mendengar ucapan Bob Manolan Jumaat lalu menanggapinya sebagai bukan ancaman.

Namun Bob Manolan telah memohon maaf di atas "keterlanjuran" ucapannya yang "agak keterlaluan" dan boleh dikelirukan sebagai satu ugutan.

"Sekarang Senator PKR Bob Manolan telah meminta maaf kerana mengancam Orang Asli, adakah DAP dan Lim akan mengesampingkan ancaman terhadap Orang Asli sebagai hanya suatu hal kecil atau meneruskan penafian kepimpinan mereka yang ia tidak pernah terjadi?

"DAP perlu memohon maaf dan menarik balik ancaman yang dibuat terhadap Orang Asli. Penafian Lim dengan memetik menteri DAP, ahli parlimen dan lain-lain sebagai saksi merupakan suatu kepalsuan dan dusta," kata Ti.

Beberapa ahli parlimen Pakatan Harapan telah mengadakan dialog dengan ketua kampung Orang Asli (tok batin) di kawasan Bob Manolan membuat ucapan berkenaan.
Ketika berucap, Bob Manolan berkata tok batin yang tidak menyokong Pakatan Harapan sebagai kerajaan persekutuan yang terus menjadi ketua bahagian Umno, perlu dibuang atau jangan dibayar gaji.

"Batin ini memang dibayar oleh kerajaan pusat, maka itu batin kena sokong Pakatan Harapan. Tak sokong kita buang.

"Mana-mana batin yang tak sokong kerajaan kita tak bayar gaji dia, betul? Jangan bayar gaji dia.
"Kita bayar gaji dia, dia tak sokong kita, buat apa kita bayar gaji dia," katanya.

Beberapa tok batin yang hadir majlis berkenaan memberitahu Malaysiakini kemudian mereka merasa terhina dengan kenyataan Bob Manolan.

Selepas Malaysiakini melaporkan kejadian itu, Bob Manolan mendakwa beliau disalah tafsir. Malaysiakini kemudian menerbitkan rakaman audio ucapan tersebut.

Beberapa pemimpin PH, termasuk Lim dan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin cuba untuk mempertahankan Bob Manolan, tetapi senator itu memohon maaf semalam.

Orang Asli merupakan penduduk utama pada pilihan raya kecil Cameron Highlands dengan mewakili 22 peratus pengundi.


Tiada ulasan: