Rabu, 16 Januari 2019

Belanja poster kempen PH melebihi had

Nizam Zain

xMGF15012019_ANUAR-BERSAMA-CALON-BN01-681x454
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa bercakap kepada media pada Program Makan Malam Bersama Pengundi Anak Muda sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Restoran Ikhwan, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL
 

TANAH RATA – Perbelanjaan kempen Pilihan Raya Keci (PRK) Cameron Highlands bagi calon Pakatan Harapan (PH) sejak lima hari lalu didakwa melebihi had yang ditetapkan di bawah Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, berdasarkan jumlah bunting dan poster yang diletakkan di sepanjang bahu jalan dari Kuala Lipis ke sini mendapati ia melebihi had yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya perhatikan kalau dihitung jumlah papan tanda dan bunting saya berjalan dari Kuala Lipis melalui Kampung Keledek dan Sg Koyan sampai ke atas ini, saya sambil-sambil itu saya bilang jumlah poster.

“BN tiada poster lagi tapi bunting dan papan tanda yang dipasang oleh PH itu saya rasa kosnya sudah melebihi had perbelanjaan pilihan raya.

“Itu jelas sekali, sangat bermewah-mewahan dan banyak sekali yang mereka belanjakan,” katanya pada sidang media sebelum Majlis Makan Calon BN Ramli Mohd Nor Bersama Pengundi Muda Cameron Highlands, di sini, hari ini.
Tan Sri Annuar Musa
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa (tiga kiri) diiringi 
Calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Noor (tiga kanan) beramah 
mesra dengan belia yang hadir pada Program Makan Malam 
Bersama Pengundi Anak Muda sempena Pilihan Raya Kecil P.078 
Parlimen Cameron Highlands di Restoran Ikhwan, Tanah Rata, 
Pahang. foto HAZROL ZAINAL
Sebelum ini, calon BN, Ramli Mohd Nor mengakui pihaknya tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk memasang papan tanda dan poster sepanjang kempen PRK Cameron Highlands.

Mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, had perbelanjaan bagi kempen pilihan raya yang ditetapkan mestilah tidak melebihi RM200,000 bagi kerusi Parlimen dan RM100,000 setiap kerusi negeri.

Annuar juga menyifatkan BN kini miskin susulan ketiadaan sumber kewangan mencukupi untuk memasang papan tanda dan poster sepanjang kempen PRK Cameron Highlands ini.

“BN sangat kekurangan (kewangan), kita orang miskin, sudah tentu sumber (kewangan) merupakan satu perkara yang kita tidak boleh dinafikan.

“Kami mengakui kita memang menghadapi kekangan dari segi sumber tapi itu bukanlah merupakan perkara yang paling penting.

“Apa yang penting ialah kita mengutamakan kempen rumah ke rumah, kita bercakap hati ke hati serta kita menyantuni hati nurani rakyat, itu yang lebih penting bagi kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: