Ahad, 20 Januari 2019

Bantuan murid miskin: Seluar besar 38 inci, kasut bayi - MP

 
 
Sehelai seluar panjang dengan saiz pinggang 38 inci dan kasut bayi antara barangan yang diterima murid di dua sekolah rendah jenis Cina di Kuala Lumpur.

Ia sebahagian bantuan program balik ke sekolah yang dikendalikan Yayasan Wilayah Persekutuan.

Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata program tersebut merupakan acara tahunan untuk yayasan yang merupakan sayap kebajikan Kementerian Wilayah Persekutuan itu.

Bagaimanapun, Lim mendakwa pada tahun ini program itu mengalami "kegagalan besar" kerana penangguhan penyerahan, jumlah barangan yang tidak cukup dan tidak tepat.

"Sejak dua bulan lalu, saya meminta kemas kini perkembangan daripada yayasan itu tetapi mereka kata barang-barang itu masih dibuat di China.

"Kemudian tiga minggu lalu, mereka kata masih belum siap lagi, sehinggalah hari Rabu lalu mereka kata akan sampai pada hari Khamis," katanya kepada Malaysiakini.

Bazir wang pembayar cukai

Lim menggesa Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad sebagai pengerusi yayasan untuk menjalankan siasatan terhadap apa yang disifatkannya sebagai pembaziran wang pembayar cukai.

Mengulas lanjut, Lim berkata terdapat 401 pelajar dari 11 buah sekolah rendah di Kepong layak menerima bantuan itu tetapi menurutnya hanya tujuh sekolah sahaja yang mendapatnya setakat ini.

Katanya lagi beliau sendiri menyerahkan set pakaian seragam sekolah kepada lebih 80 pelajar di SJKC Kepong 1 dan SJKC Kepong 2 semalam.

Menurutnya, pada majlis penyerahan berkenaan mereka menemukan sejumlah kesilapan daripada segi saiz pakaian.

"Seorang murid darjah enam menerima kasut bayi berwarna hitam. Seorang murid pendek tetapi seluarnya terlalu panjang, manakala seorang lagi mendapat seluar besar dengan saiz pinggang 38 inci.
"Jadi, tentulah ibu bapa merungut," kata Lim yang menegaskan kesilapan itu tidak dapat diterima.

Murid perempuan dapat seluar lelaki

Ketika dihubungi Guru Besar SJKC Kepong 2 Wee Hiau Kee mengesahkan dakwaan Lim, menjelaskan penghantaran bantuan itu tertunda kerana penggal baru persekolahan telah bermula selama tiga minggu.

"Ada (saiz) terlalu kecil, ada yang terlalu besar dan ada yang salah barangan juga, termasuk seorang murid perempuan yang mendapat seluar panjang lelaki (dan sepatutnya menerima baju pinafor).

"Apabila ibu bapa mencuba barangan tersebut kepada anak-anaknya, mereka mendapati ia tidak dapat digunakan jadi mereka mahu menukarnya," kata Wee.

Beliau menjelaskan sekolah itu tiada pilihan memainkan memungut kembali barangan yang tidak sesuai itu dan memulangkannya ke pejabat Lim bersama maklum balas mereka terhadap yayasan itu.

Malaysiakini telah menghubungi yayasan itu bagi mendapatkan ulasan mengenai hal ini.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad pada 17 Disember lalu dilaporkan berkata, program Kembali ke Sekolah itu memberi bantuan kepada 20,000 murid sekolah rendah daripada keluarga golongan kurang berkemampuan di kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Program ini menelan belanja sebanyak RM3 juta yang mana murid akan menerima kelengkapan berupa set pakaian, kasut dan beg sekolah," katanya, petik Utusan Online.

Tiada ulasan: