Selasa, 29 Januari 2019

Adun PKR: Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 ketinggalan zaman

MALAYSIAKINI

   

Kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi bahawa penggubalan Dasar Kebudayaan Negara (DKN) yang baru akan mengambil kira saranan daripada hasil kajian Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 telah menimbulkan kebimbangan sesetengah pihak.

Adun Bukit Tengah dari PKR, Gooi Hsiao Leung menyifatkan saranan itu sebagai ketinggalan zaman dan 'berfikiran sempit'.

Ini kerana katanya, Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang diperkenalkan selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 itu digubal berdasarkan tiga prinsip.

- Budaya kebangsaan mesti berdasarkan budaya Melayu;

- Unsur-unsur yang sesuai dari budaya lain boleh diterima sebagai sebahagian daripada budaya kebangsaan, dan

- Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan

"Saya percaya kita harus berpindah dari pendekatan asimilasi berasaskan bangsa yang ketinggalan zaman, tidak dapat dikendalikan dan diguna pakai hampir 40 tahun lalu, yang telah gagal memupuk perpaduan negara yang tulen dalam negara berbilang bangsa dan agama kita.

"Sebaliknya, prinsip teras yang akan tertanam dalam dasar kebudayaan kita yang baru mestilah didasarkan pada membina identiti Malaysia berbanding dengan identiti berasaskan kaum," katanya.

Gooi mengulas kenyataan Mohamaddin bahawa draf akhir DKN yang baru untuk mewujudkan sebuah negara maju dan rakyat berbudaya melalui misi memartabatkan seni, budaya dan warisan dijangka siap pada bulan September.
Mohamaddin berkata penggubalan dasar baru itu akan mengambil kira saranan daripada hasil kajian Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971.

"Ia masih di peringkat draf yang mana draf akhirnya dijangka siap September ini.

"DKN yang baru ini diyakini akan membawa lebih banyak kebaikan dan akan memberi tumpuan inklusif kepada membina jati diri bangsa Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, Gooi memuji kenyataan Mohammadin bahawa kerajaan sedang merangka dasar kebudayaan baru yang akan memfokuskan pembinaan identiti "Malaysia" selepas kerajaan terdahulu gagal mempromosikan perpaduan negara.

"Kita kini mempunyai peluang keemasan untuk membetulkan kegagalan BN.

"Kepentingan dasar sedemikian dalam pembinaan negara tidak boleh diabaikan - kerana ia akan mencatatkan pembangunan sosio-ekonomi dan politik negara kita untuk beberapa dekad yang akan datang," katanya.

Tambah beliau, dasar kebudayaan baru ini mesti dipandu oleh objektif untuk mempromosikan pluralisme dan kepelbagaian budaya di Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

"Hanya apabila kita benar-benar memeluk dan mempromosikan kepelbagaian budaya dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama kita - kita akan dapat bergerak maju dalam mewujudkan negara yang benar-benar sederhana, inklusif dan bersatu.

"Ini akan menjadikan Malaysia antara model global keharmonian antara kaum dan agama di peringkat antarabangsa seperti dinyatakan dalam perkara ke-5 manifesto PH," katanya.


Tiada ulasan: