KUALA LUMPUR: Gerakan
Pembela Ummah (UMMAH) tidak teragak-agak mengerah himpunan lebih besar
sekiranya kes kematian Pegawai Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tidak
diselesaikan segera.
Pengerusi UMMAH, Aminuddin Yahya
berkata, usaha sebagaimana Himpunan Rakyat Bantah ICERD akan digerakkan
sekiranya kes tersebut tidak ditangani mengikut prinsip keadilan dalam
tempoh sewajarnya.
Penegasan itu dinyatakan beliau kepada
pihak media selepas membuat laporan polis bersama beberapa NGO terhadap
Peguam Negara, Tommy Thomas di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di
sini hari ini.
"Sehingga hari ini masih belum keluar
lagi laporannya. Kes ini seharusnya tidak diadakan inkues kerana pesalah
sudah pun dikenal pasti. Kita juga mempersoalkan, kenapa pesalah yang
telah dikenal pasti, tetapi telah diberi ikat jamin keluar?
"Ini juga bersalahan dari segi akta.
Kita minta pihak polis membuat siasatan secepat mungkin. Kerana ini
merupakan simbol kepada keadilan. Seorang penjawat awam yang nak
menyelamatkan keadaan, yang tidak membawa apa-apa senjata, telah
terkorban.
"(Ia dilakukan) oleh pihak-pihak
'militan', yang sengaja bagi kita untuk menimbulkan kekacauan dan
perpecahan kaum di negara ini. So, ini merupakan satu tragedi yang amat malang dalam konteks keadilan 'Rule of Law'," ujarnya.
Beliau menggesa kerajaan mengambil
tindakan segera terutamanya kepada Peguam Negara supaya tidak melakukan
penangguhan ataupun sebagaimana khabar anginkan mungkin berlaku ubah
suai dalam laporan yang dibuat terhadap kes ini.
Desak beliau, Peguam Negara mesti dengan
secepat mungkin menjelaskan kepada awam dan mengambil tindakan terhadap
pesalah-pesalah yang telah dikenal pasti tanpa cuba melindungi mereka.
"Kita minta siasatan dari pihak polis
supaya jangan apa-apa campur tangan daripada mana-mana pihak, sama ada
pihak polis, pihak peguam negara atau pihak-pihak Menteri yang selama
ini kita kenal dia memang banyak memihak kepada sebelah pihak.
"Jadi kita minta perkara ini tidak
diganggu gugat dan dibuat tindakan secepat mungkin. Banyak yang memberi
kenyataan-kenyataan yang tidak ada 'open ended', tidak ada memberi satu 'dateline' bagaimana kes ini nak dikendalikan.
"Tetapi yang lebih penting bagi saya
ialah pesalah itu mesti ditangkap. Sekarang ini, pesalah ini bebas, kita
pun tak tahu dekat mana dah. Bukan tak dikenal pasti, sudah dikenal
pasti suspek itu. Sebab itu kita kata inkues ini sudah tidak perlu.
"Inkues ini bagi yang tidak dikenal. Sekarang sudah dikenal pasti. Jadi tidak perlu inkues lagi. So, yang dikenal pasti itu harus ditangkap dan dibicarakan secepat mungkin," gesanya lagi.
Tegas Aminuddin juga, sekiranya kes
tersebut terus ditunda atau adanya permainan politik, pihaknya akan
menuntut keadilan itu menerusi gerakan bantahan menerusi himpunan
besar-besaran sebagaimana bantahan ICERD.
"Kerana, Adib adalah simbol. Tetapi yang
lebih kritikal ialah keadilan kepada keluarga mereka, kepada
undang-undang negara. Kalau boleh berlaku kepada Adib, makna boleh
berlaku kepada sesiapa sahaja. Ini yang lebih kritikal. Ini soal
prinsip.
"Bukan Adib sebagai individu, tetapi soal prinsip keadilan, 'Rule of Law'.
Sistem keadilan, sangat penting. Melibatkan kematian penjawat awam
dalam bertugas, Bomba yang tak bawa senjata, nak menyelamat. Maknanya
niat yang begitu baik, tindakan yang begitu baik, akhirnya berakhir
dengan tragedi kematian kepada beliau," kesalinya. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan